Oleh Amri HTZ
Komputer merupakan alat yang amat penting di zaman ini bagi membuat sesuatu tugasan dan tidak hanya di tempat kerja, kadangkala sesuatu tugasan yang perlu disiapkan dan dihantar sebelum tarikh akhir memaksa seseorang untuk menyelesaikannya di rumah.
Berbanding komputer meja, komputer riba merupakan pilihan lebih popular untuk dimiliki memandangkan ia mudah alih.
Namun menyiapkan tugasan untuk jangka waktu yang lama menjadi begitu memenatkan jika diletakkan diriba. Sesetengah pengkaji berpendapat, haba yang dihasilkan komputer boleh menjejaskan kesihatan terutama ketika bersentuhan dengan anggota badan. Untuk itu bagi mengelakkannya, meja mini khusus untuknya perlu dimiliki.
Barangan yang diperlukan
Selain mendapatkan meja mini dengan membelinya, anda juga boleh merekanya sendiri dengan beberapa langkah mudah.
Sebelum itu sediakan kepingan kayu berukuran 50mm, mesin pemotong kayu, mesin bandsaw atau jig, dowel berdiameter 20mm, mata gerudi berukuran 19mm, mesin gerudi, kertas pasir atau ketam kayu, gam kayu, pengepit kayu untuk merekanya.
Langkah-langkah pembuatan
Kepingan kayu yang telah disediakan terlebih dahulu akan diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu. Langkah ini hanya akan dilakukan untuk anda yang menggunakan kayu yang mempunyai permukaan yang kasar atau tidak diketam dan kayu yang digunakan semula. Selain menggunakan ketam kayu, penggunaan kertas pasir juga boleh dilakukan namun memerlukan masa yang lama untuk permukaan yang tidak rata.
Setelah meratakannya, dipotongkan kayu dengan ukuran yang diperlukan untuk mereka rangka utama meja mini komputer riba. Potongan kayu 50mm x 50mm (ukuran kasar) akan diperlukan bagi keseluruhan bahagian yang kemudiannya akan dikecilkan lagi nanti. Untuk panjang kayu, dua keping kayu berukuran 253mm, 250mm dan 170mm diperlukan bagi kayu bahagian rangka atas, bawah dan tengah. Salah satu sudut hujung kayu untuk kayu berukuran 253mm dan 250mm akan dipotongkan dengan sudut 45 darjah. Sementara untuk kayu berukuran 170mm panjang, kedua-dua bahagian hujung kayu akan dipotongkan dengan sudut 45 darjah dengan bentuk bertentangan. Lakukan langkah membentuk hujung kayu ini menggunakan mesin pemotong kayu bagi mendapatkan bentuk permukaan yang tempat.
Selesai memotongkannya, tandakan setiap bahagian (contoh a,b dan c) untuk permukaan atas dan bawah terutama bagi rangka meja mini bahagian atas dan bawah. Langkah ini khusus untuk menipiskan lagi ukuran kayu sebelumnya iaitu untuk kayu rangka atas, sudut hujung tanpa potongan 45 darjah akan dipotongkan dengan ukuran 20mm tebal sementara hujung satu lagi berukuran 35mm. Manakala bagi kayu rangka bahagian bawah meja, permukaan hujung tanpa potongan 45 darjah akan dinipiskan dengan ukuran 30mm, sementara satu lagi akan dipotongkan dengan tebal 35mm. Menipiskan tebal kayu untuk rangka bahagian belakang (kayu berdiri) juga akan dilakukan bagi menyamakan ukuran kedua-dua bahagian hujung kayu atas dan bawah iaitu 35mm.
Sebelum itu kayu berukuran 253mm dan 250mm panjang dengan permukaan berukuran 20mm dan 30mm tinggi akan dibulatkan permukaannya menggunakan mesin bandsaw atau jig. Ini akan menjadikan kayu bahagian atas mempunyai kepanjangan 253mm pada bahagian atas dan 196mm pada bahagian bawah. Manakala untuk kayu rangka bawah dengan ketinggian 30mm akan mempunyai panjang 185mm pada bahagian atas dan 250mm pada bahagian bawah. Dengan pemotongan ini awda boleh beralih ke langkah mencantumkan rangka utama ini.
Dengan menyapukan permukaan cantuman (permukaan dengan potongan 45 darjah) menggunakan gam kayu, kekalkan kedudukannya secara sementara menggunakan pengepit kayu. Teknik mengepit kayu untuk mengekalkannya secara sementara di sini memerlukan awda untuk memerhatikan permukaan cantuman. Pada kebiasaannya, jenis permukaan cantuman sebegini (45 darjah) cenderung untuk bergerak. Oleh itu sentiasa perhatikan kawasan cantuman dan sesuaikan semula kedudukan jika perkara yang dinyatakan berlaku dengan melonggarkan semula pengepit kayu.
Setelah mencantumkannya, langkah seterusnya ialah mencantumkan dowel yang disediakan sebagai kayu penyokong rangka utama. Panjang dowel yang digunakan di sini adalah mengikut ukuran komputer riba yang digunakan. Jika komputer riba yang dimiliki mempunyai ukuran lebih besar atau kecil, awda hanya perlu memotongkan dowel tersebut mengikut ukuran komputer yang dimiliki.
Bagi mencantumkannya, tebuk dengan kedalaman lebih kurang 30mm permukaan hujung kayu atas (rangka utama) lebih kurang 2 inci dari bahagian hujung (hujung kayu berbentuk separa bulatan) menggunakan mata gerudi 19mm. Mata gerudi yang lebih kecil digunakan berbanding ukuran sebenar dowel adalah bagi memastikan cantuman benar-benar ketat dan sempurna. Ini akan menjadikannya begitu kukuh ketika ia siap nanti.
Selain itu kayu bahagian tengah rangka juga akan ditebuk dengan dalam yang sama (dua lubang setiap bahagian) untuk menempatkan dua dowel. Pastikan kedudukan di antara kedua-dua kayu bahagian belakang rangka yang ditebuk benar-benar sejajar. Jika tidak, ketika dicantumkan nanti, rekaan akan nampak tidak seimbang, senget sekali gus menggagalkan rekaan.
Semasa mencantum dowel secara tetap pada rangka utama meja mini, lubang yang telah ditebuk perlu disapukan dengan gam kayu. Setelah itu, kekalkan kedudukan cantuman secara sementara menggunakan pengepit kayu. biarkan gam mengering lebih kurang tiga hingga ke empat jam sebelum mengendalikannya. Untuk mendapatkan hasil akhir yang lebih baik, membiarkan gam mengering selama 24 jam amat disarankan.
Dengan mengeringnya gam, meja mini untuk komputer riba yang direka sendiri kini boleh digunakan. Bertujuan sebagai meja untuk membuat kerja yang mudah alih, rekaan tersebut juga mempunyai manfaat untuk menyejukkan komputer riba dengan peredaran udara yang baik memandangkan bahagian bawahnya dalam keadaan terbuka. Bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, menghasilkannya lebih dari satu boleh menjadi pendapatan sambilan dengan memaparkannya di platform jualan yang bersesuaian.