Oleh Amri HTZ
Mencari bersesuaian untuk melengkapi ruangan kosong dalam rumah setentunya suatu tugas yang agak mencabar bagi mereka yang benar-benar peka mengenai kesesuaiannya.
Mendapatkannya di pasaran juga boleh dilakukan, namun perkara yang selalu menjadi penghalang ialah ukuran perabot yang diinginkan.
Bagi mereka yang mempunyai kemahiran dalam pertukangan, dalam menyelesaikan dilema berkenaan, ia merupakan suatu kelebihan di mana mereka mampu menciptanya sendiri.
Dengan peralatan yang dimiliki, kini hanya tinggal panduan proses rekaan yang boleh diikuti dalam projek DIY kali ini.
Pentingnya penyediaan awal barangan
Bagi memastikan proses rekaan tidak mudah tergendala, terlebih dahulu awda perlu menyediakan barangan penting seperti mesin pemotong besi (grinder), mesin pemateri, sarung tangan keselamatan, helmet mengimpal, sekeping papan lapis berketebalan 20mm, cat sembur khusus besi, wire brushes untuk mesin grinder, skru, mesin gerudi, mata gerudi berukuran 6mm, kertas pasir, mesin pemotong kayu atau gergaji tangan, tukul khusus kimpalan, sesiku dan pita pengukur serta wood finish jenis poliuretana.
Ikuti panduan satu persatu
Pada langkah pembuatan, mulakan dengan memotong papan lapis yang tersedia dengan ukuran 36” x 20” sama ada menggunakan gergaji atau mesin pemotong kayu jenis bulat.
Sebelum itu, tandakan kawasan potongan menggunakan pensel sebagai panduan bagi pemotongan. Bagi awda yang menggunakan mesin untuk memotongnya, menggunakan besi berbentuk lurus mampu dijadikan panduan di mana dengan menetapkannya menggunakan pengapit pada kawasan potongan (pastikan jarak bilah pemotong mesin disesuaikan), mesin hanya perlu disorong perlahan untuk memotongkan papan lapis tersebut.
Permukaan papan lapis yang telah dipotong pada kebiasaannya kurang sempurna (terdapat pecahan kayu) sama ada pada bahagian atas mahupun bawah.
Di sini awda boleh membersihkan permukaan sama ada menggunakan kertas pasir ataupun mesin router dengan mata corner round. Sama seperti langkah penggunaan mesin pemotong kayu, mesin router yang digunakan hanya perlu disorong perlahan bagi memastikan permukaan yang diratakan dalam keadaan sempurna.
Setelah meratakan keseluruhan permukaan papan lapis, langkah seterusnya ialah melindungi permukaan kayu menggunakan wood finish jenis poliuretana. Ini bagi memastikan kelembapan dan serangga perosak tidak akan merosakkan permukaan kayu. Sekurang-kurangnya dua lapisan wood finish pilihan diperlukan agar poliuretana yang disapukan dalam keadaan rata.
Sementara menunggu poliuretana mengering, gunakan masa terluang untuk mereka bahagian kaki meja.
Besi hollow berukuran 1” x 1” tersedia akan dipotongkan dengan ukuran 34” panjang untuk tiga batang, 20” panjang untuk empat batang dan 29” panjang untuk empat batang. Gunakan mesin grinder dengan bilah bersesuaian bagi memastikan proses dilakukan dengan tepat dan selamat.
Untuk mencantumkan kesemua batang besi yang terpotong bagi mereka struktur kaki meja, mulakan dengan mengimpal besi berukuran 34” panjang untuk bahagian depan dan belakang, diikuti dengan besi berukuran 20” panjang untuk kedua-dua bahagian sisi. Bahagian ini akan dijadikan rangka sokongan untuk bahagian kaki meja.
Jika awda bekerja pada permukaan meja yang mempunyai ruangan khusus untuk menetapkan kedudukan besi ketika dikendalikan, gunakannya bagi memastikan kedudukan tidak berubah semasa proses mengimpal menggunakan teknik tack weld.
Penggunaan teknik tack weld sebelum mengimpal sepenuhnya permukaan cantuman adalah penting di mana jika terdapat kesilapan terutamanya dari segi kedudukan besi, awda boleh menanggalkan semula dengan hanya perlu memotong permukaan tack weld.
Selesai mematerikan bahagian tersebut, langkah seterusnya akan mematerikan dua bahagian kaki meja menggunakan besi berukuran 29” panjang dua batang (untuk bahagian sisi) diikuti dengan besi berukuran 20” untuk bahagian bawah. Lakukan langkah yang sama untuk bahagian kaki yang satu lagi.
Bahagian kaki meja yang telah dikimpal tersebut kemudiannya akan dicantumkan pada rangka sokongan kaki meja yang telah direka sebelumnya. Pateri bahagian hujung besi berukuran 29” panjang tersebut pada bahagian sisi rangka sokongan kaki meja juga menggunakan teknik tack weld. Dengan mematerikan kedua-dua bahagian kaki meja tersebut, kini bentuk keseluruhan struktur kaki meja akan kelihatan.
Dalam memastikan kaki meja dalam keadaan kukuh, besi terakhir berukuran 34” panjang akan digunakan sebagai penyokong kedua-dua bahagian tersebut. Tetapkan struktur kaki meja dalam keadaan berdiri kemudian pateri besi tersebut pada salah satu bahagian (depan atau belakang kaki meja) dengan kedudukan 9” daripada bahagian bawah.
Setelah semua bahagian besi berjaya dipaterikan, langkah seterusnya, awda perlu melengkapkan kerja-kerja mengimpal keseluruhan permukaan cantuman. Penggunaan peralatan keselamatan seperti saung tangan, coverall dan kasut kalis api adalah penting. Ini memastikan percikan api atau permukaan besi yang telah dikimpal yang dalam keadaan panas tidak akan mencederakan diri.
Sementara itu untuk helmet, tanpa menggunakannya awda berdepan risiko kebutaan sementara (welder’s flash) selama beberapa jam disebabkan terdedah kepada radiasi ultraungu.
Permukaan yang telah dikimpal, yang kurang sempurna atau mempunyai spatter, akan dibersihkan menggunakan wire brush. Manakala bagi permukaan yang dikimpal dalam keadaan tebal dan berlapis-lapis disebabkan kesilapan ketika proses pematerian dan kurang elok dilihat, perlu diratakan menggunakan grinding disc atau flapping disc.
Bagi melindungi permukaan besi daripada kelembapan yang boleh membuatkannya cepat berkarat, cat sembur berwarna hitam akan digunakan pada permukaannya. Semburan pertama cat pada permukaan besi tidaklah perlu dalam keadaan tebal di mana lapisan pertama cat lebih berfungsi kepada permukaan untuk ‘tempat berpaut’ bagi lapisan cat seterusnya. Oleh itu hanya lapisan nipis diperlukan dengan jarak tin cat lebih kurang 7” hingga 8”.
Setelah cat mengering, kini hanya tinggal mencantumkan bahagian permukaan utama meja yang terbuat daripada papan lapis dengan kaki meja.
Terlebih dahulu tebuk lubang pada bahagian cantuman (kaki meja) menggunakan mata gerudi bersesuaian dengan ukuran skru yang akan digunakan.
Skru berkepanjangan 4sm cukup memadai kerana ditakuti jika terlalu panjang akan menembusi permukaan utama meja. Meletakkannya pada ruangan bersesuaian setentunya akan memberikan manfaat ketika awda bekerja mahupun menghiasi ruangan tersebut.