Oleh Amri HTZ
Meja kayu merupakan perabot yang kekal menjadi pilihan para penghias dalam mendekorasi sesebuah ruangan di rumah mereka.
Selain tahan lama, keaslian bentuk dan ira permukaan kayu yang menarik juga menjadi salah satu faktor ia menjadi pilihan. Walaupun ia digunakan dalam jangka masa yang lama, perabot daripada kayu akan tetap bersifat evergreen sekali gus menjadikannya tidak ‘bosan’ untuk dipandang.
Selain fungsinya untuk menyimpan barang perhiasan di atas permukaan meja, ia juga menjadi penyeri pada sesebuah ruangan kosong.
Sedia lebih awal
Selain mendapatkan meja dengan cara membelinya, awda juga boleh merekanya sendiri.
Untuk merekanya awda perlu memiliki peralatan seperti kepingan kayu, papan MDF atau lapis, mesin pemotong kayu, mesin biscuit joiner, alat pengepit kayu, gam kayu, ketam kayu, kertas pasir, pita pengukur, cat lakuer, pen penanda dan vernier caliper.
Potong bahagian, tandakan cantuman
Pada langkah pertama projek pembuatan meja sisi mini ini, kayu-kayu yang disediakan akan dipotong mengikut ukuran yang diperlukan untuk dijadikan bahagian-bahagian tertentu.
Mula-mula potong kayu dengan ukuran 4 sentimeter (sm) x 4sm x 50sm untuk empat batang. Tetapkan rip fence mesin pemotong kayu meja dengan jarak 4sm dari bilah pemotong untuk memotongkannya bagi mendapatkan ukuran sama daripada potongan berulang.
Manakala untuk panjangnya pula memerlukan awda untuk menggunakan bantuan crosscut sled bagi memastikan kayu yang disorongkan tetap pada kedudukan dan permukaan potongan juga sempurna dan tepat. Bahagian yang dipotong ini akan dijadikan kaki meja.
Selain itu, menggunakan teknik yang sama, awda perlu memotongkan kayu berukuran 2sm x 14sm x 26.5sm (dua keping) untuk bahagian side rail, 2sm x 14sm x 33sm (sekeping) untuk back rail, 2sm x 4sm x 33sm (dua batang) untuk front rail, 45sm x 365sm bagi bahagian permukaan utama meja, 2sm x 4sm x 28.5 (dua batang) untuk drawer support dan 2sm x 2sm x 27sm (dua batang) sebagai drawer guide.
Manakala itu untuk bahagian laci meja, potongan kayu berukuran 2sm x 9sm x 27sm (dua batang) untuk bahagian sisi kiri dan kanan, 2sm x 8sm x 30.6sm (dua batang) bagi bahagian depan dan belakang, 20sm x 36.6sm x 12sm untuk bahagian depan utama, dan papan MDF 30.5sm x 23.5sm untuk bahagian bawah laci. Selesai memotongkan kesemua bahagian, kayu-kayu tersebut kemudiannya akan dicantumkan membentuk sebuah meja mini.
Kesemua empat batang kaki meja pada awal langkah mencantumkan memerlukan awda untuk mereka ruangan kayu biscuit (pasak) menggunakan mesin khusus. Jika mesin sedemikian tidak dimiliki, awda juga boleh menggunakan dowel untuk mencantumkannya.
Bagi memastikan cantuman efektif, dua keping kayu biscuit digunakan untuk setiap permukaan cantuman dan kedalamannya perlulah mengikut ukuran kayu biscuit yang digunakan. Sementara itu, bagi memastikan tiada kesilapan kedudukan permukaan yang ditebuk, pastikan awda menandakannya menggunakan pensel.
Bagi memastikan keselamatan ketika melakukannya, material yang akan ditebuk perlulah ditetapkan kedudukannya pada vise atau bench clamp. Ia juga bagi memastikan proses penebukan menggunakan mesin dapat dilakukan dengan tepat dan sempurna di mana material bergerak boleh menyebabkan kedudukan lubang tersasar atau lebih teruk, kayu menjadi rosak. Ini disebabkan mesin joiner tersebut memerlukan awda untuk menolaknya bagi melakukan tugasan.
Selesai mereka ruangan kayu biscuit, mulakan proses cantuman dengan dua kaki meja bahagian depan dengan kayu front rail 2sm x 4sm x 33sm (dua batang). Ini diikuti dengan dua batang kayu kaki meja bahagian belakang dengan 2sm x 14sm x 33sm.
Sapukan permukaan cantuman dan ruangan biscuit menggunakan gam kayu dan kekalkan kedudukannya menggunakan alat pengepit kayu. Setelah gam mengering, awda boleh mencantumkan kedua-dua bahagian tersebut dengan kayu 2sm x 14sm x 26.5sm (dua keping) untuk bahagian sisi kiri dan kanan (side rail).
Kemudian cantumkan kayu 2sm x 14sm x 26.5sm (dua keping) untuk bahagian side rail pada bahagian dalam meja diikuti kayu drawer guide 2sm x 2sm x 27sm (dua batang) pada bahagian atasnya. Ini diikuti dengan permukaan utama meja iaitu 45sm x 36.5sm pada bahagian atas. Dengan cantuman bahagian ini, awda kini boleh melihat struktur meja secara keseluruhan.
Sementara itu bagi bahagian laci meja, sebelum membolehkan awda mencantumkan keseluruhan bahagian, awda perlu mereka groove untuk papan bahagian bawah laci dimasukkan. Untuk itu awda pelru merekanya menggunakan mesin router dengan kedalaman 6mm dan lebar sesuai dengan ketebalan papan yang digunakan. Setelah itu, awda boleh mulakan proses cantuman bermula dengan rangka meja diikuti dengan bahagian bawahnya.
Dengan keseluruhan bahagian telah dicantumkan, sebelum membolehkan awda melindungi permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan, keseluruhan permukaan terlebih dahulu digosok menggunakan kertas pasir berukuran 1,000 grit diikuti dengan 1,500 grit.
Ini bagi memastikan permukaan kayu halus sekali gus mampu memberikan mirror finish terutama bagi penggunaan lakuer pada permukaan rekaan.
Dua hingga tiga lapisan wood finish perlu disapukan bagi memastikan ia mencukupi dengan setiap lapisan perlu diberikan masa mengering atau menyerap sebelum lapisan seterusnya diberikan.
Dengan langkah terakhir ini, meja mini pelbagai guna yang direka tersebut kini boleh ditempatkan di ruangan bersesuaian untuk digunakan mahupun menghiasinya.