Friday, November 29, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mejar (U) Nazmi Nasrudin sertai Skuadron 230 RAF

    Oleh Daniel Lim – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Skuadron 230 Tentera Udara Diraja (RAF) British yang berpangkalan di Brunei Darussalam mengalu-alukan penyertaan pegawai pertukaran dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Mejar (U) Awang Nazmi Nasrudin.

    Mejar (U) Awang Nazmi Nasrudin dipilih dalam kalangan juruterbang lain untuk menyertai program pertukaran antara United Kingdom (UK) dan Brunei Darussalam. Beliau menyertai TUDB pada tahun 2012 dan menjalani latihan penerbangan di UK, termasuk Latihan Penerbangan Asas dan Latihan Rotary Awal bersama RAF dari tahun 2014 hingga 2016.

    Sebelum menyertai Skuadron 230, beliau bertugas sebagai juruterbang di Skuadron No. 11 TUDB, mengendalikan helikopter Sikorsky S70i Blackhawk dalam pemindahan perubatan dan misi operasi yang serupa.

    Latihan intensif beliau termasuk beberapa bulan di RAF Benson, UK, diikuti dengan latihan Conversion to Role di Brunei Darussalam. Penilaian terakhir beliau bertepatan dengan tugasan membawa Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie, ke kawasan latihan hutan di Brunei.

    Menurut British Forces Brunei (BFB), Mejar (U) Nazmi mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang latihan dan berjaya melaksanakan tugasan terakhirnya.

    Beliau menerbangkan helikopter Puma RAF dalam misi membawa Pesuruhjaya Tinggi dan Pegawai Pemerintah BFB, Leftenan Kolonel John Jeffcoat untuk memeriksa latihan ketenteraan yang sedang dijalankan oleh askar British di kawasan hutan Brunei.

    Skuadron 230 memainkan peranan penting dalam misi pemindahan perubatan bagi askar yang cedera, sentiasa bersiap sedia untuk berlepas dalam tempoh 60 minit sejurus diaktifkan. Secara purata, Skuadron 230 mampu membawa askar yang cedera ke hospital dalam masa satu jam 30 minit dari masa pengaktifan, menyelamatkan banyak nyawa sejak mereka ditempatkan di Brunei.

    Penglibatan Mejar (U) Nazmi dalam Skuadron 230 mencerminkan hubungan erat dan kerjasama strategik antara Brunei dan UK, khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

    Mejar (U) Nazmi (dua kanan) bergambar bersama PYT Alexandra McKenzie sebelum penerbangan ke Kem Latihan Hutan. – GAMBAR SERAHAN BFB
    Mejar (U) Nazmi Nasrudin bersama helikopter RAF Puma. – GAMBAR SERAHAN BFB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda