Susulan kematian seorang TikToker dikenali sebagai Esha yang dipercayai menjadi mangsa buli siber, personaliti media sosial Mek Yun memohon agar pihak berkuasa mengenakan tindakan yang setimpal terhadap pembuli.
Mek Yun atau Wee Yun Nee, 27, berkata, kejadian yang berlaku kepada mendiang Esha tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa manusia.
Malah Mek Yun berharap wujud undang-undang lebih tegas dalam membanteras gejala buli siber yang semakin menular di media sosial.
“Saya rasa perkara ini sangat serius sampai boleh meragut nyawa. Jadi ia tidak boleh diambil ringan untuk tindakan yang dibuat. Kalau sampai meragut nyawa, saya harap sangat pihak berkuasa akan lebih memperketatkan undang-undang supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya kepada mStar.
Mek Yun berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Perang Nasi Dagang yang diadakan di Wisma DBP, Kuala Lumpur kelmarin.
Dalam pada itu, Mek Yun memberitahu dia juga pernah berdepan dengan komen negatif warganet yang menyentuh mengenai fizikal dirinya. Mek Yun bagaimanapun menjadikan kata-kata itu sebagai pembakar semangat untuk terus bangkit.
“Saya juga pernah menerima komen negatif seperti body shaming kerana sebelum ini badan saya agar besar sedikit. Banyaklah komen-komen yang buruk tetapi saya ambil sebagai pembakar semangat untuk menurunkan berat badan,” ujarnya.
Sementara itu, Mek Yun berpesan kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya memberikan komen yang boleh menggores hati orang lain.
Kata Mek Yun, setiap individu mempunyai tahap kesihatan mental yang berbeza dan disebabkan itulah kita perlu menjaga tutur kata apabila menggunakan media sosial.
“Fikir dahulu sebelum anda meninggalkan sebarang komen kerana mungkin bagi anda apa yang dikatakan itu tidak mempunyai apa-apa maksud tetapi ia mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain. Tolonglah berbuat baik dan sebarkan nilai yang positif sahaja supaya kita semua akan hidup dalam kebahagiaan,” katanya.
Pada Selasa, P Shalini, 35, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok untuk membangkitkan kemarahan.
Shalini mengaku bersalah dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menyebabkan Esha ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber. – Agensi
