Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mekah bangunkan miqat, tingkat pengalaman jemaah

    MEKAH, 10 SEPT – Miqat, pintu masuk awal yang ditetapkan untuk berniat ihram bagi haji atau umrah, sedang melalui proses pembangunan besar-besaran yang dikendalikan Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Mekah dan Tapak Suci (RCMC) bagi meningkatkan kecekapan serta kesiapsiagaannya untuk menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat dan menyediakan pengalaman yang lebih lancar.

    Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), sepanjang musim haji 1446H, pelan operasi berjaya mengurangkan masa menunggu jemaah daripada 80 kepada 39 minit, mencapai kadar maklum balas 100 peratus terhadap komen pengunjung serta mencapai kadar kualiti perkhidmatan dan kepuasan pengunjung sebanyak 99 peratus.

    Projek yang sedang dijalankan termasuk penyediaan reka bentuk terperinci bagi Miqat Qarn Al-Manazil, dengan tumpuan kepada penyusunan semula lalu lintas dalaman, perluasan kawasan solat dan penambahbaikan kemudahan perkhidmatan. Rancangan pembangunan bagi Miqat Wadi Muharram pula menekankan peningkatan kecekapan kemudahan, pengindahan landskap visual serta menghubungkan tapak itu dengan laluan trafik utama.

    Ketua Pegawai Eksekutif RCMC, Saleh Al-Rasheed berkata, pembangunan tersebut adalah sebahagian daripada visi strategik untuk meningkatkan operasi, memastikan kelestarian dan memperluas kapasiti tapak tersebut.

    Projek itu juga direka bentuk untuk mengekalkan identiti seni bina Islam sambil menyediakan pengalaman kerohanian yang sesuai untuk para jemaah. – Bernama

    Salah satu miqat atau tempat jemaah haji berniat ihram di Bir Ali. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda