IPOH, 4 JULAI – Seorang mekanik kerugian lebih RM200,000 selepas menerima ugutan video bogelnya akan disebar menerusi media sosial oleh wanita yang dikenalinya melalui Facebook.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa yang berusia 30 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar mendakwa telah berkenalan dengan suspek wanita yang digelar sebagai ‘Yaya’.
Beliau berkata suspek telah mengajak mangsa membuat panggilan video kerana mahu menunjukkan sesuatu yang ‘istimewa’ untuk tatapan mangsa.
“Setelah menerima panggilan telefon daripada suspek, mangsa melihat suspek telah berbogel serta melakukan aksi ghairah lalu mengajak mangsa melakukan perkara yang sama.
“Mangsa yang terpengaruh dengan rayuan suspek turut berbogel dan melakukan aksi tidak senonoh tanpa menyedari suspek telah melakukan tangkap layar. Mangsa hanya mengetahui perkara itu selepas suspek menghantar rakaman video tersebut sejurus panggilan ditamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata suspek telah mengugut mangsa memasukkan bayaran dan sekiranya tidak ditunaikan, suspek akan menyebarkan gambar dan video bogel mangsa menerusi semua platform media sosial.
“Mangsa kemudian telah melakukan 38 transaksi secara dalam talian mencecah RM200,000 ke lima akaun pemilik berbeza kerana bimbang rakaman itu disebarkan.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira 1:49 tengah hari semalam apabila menyedari dirinya tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.
Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang mesej diterima daripada mana-mana orang tidak dikenali bagi mengelak terpedaya dengan sindiket seumpama itu. – Bernama


