Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah merasmikan Mekar FinTech Innovation Centre yang terletak di Bangunan iCentre, Kampung Anggerek Desa pada 14 November lalu.
BDCB dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan pelancaran pusat berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan BDCB, Hajah Rokiah binti Haji Badar.
Acara yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan BDCB dan pihak berkepentingan daripada komuniti FinTech itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua FinTech di BDCB, Haji Mohd Khairul Zaki bin Haji Mohidin.
Dalam ucaptamanya, Hajah Rokiah menekankan peranan Mekar FinTech Innovation Centre sebagai pemangkin inovasi FinTech dengan menyediakan platform untuk pelbagai pihak berkepentingan FinTech termasuk para usahawan, pakar industri, penyedia teknologi, ahli-ahli akademik dan pengawal selia untuk bekerjasama, memacu inovasi serta membantu pertumbuhan aktiviti FinTech di Negara Brunei Darussalam.
Penubuhan pusat tersebut merupakan projek strategik di bawah Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2016-2025 dan Pelan Strategik BDCB 2021-2025. Pusat itu berfungsi sebagai platform untuk perniagaan mendapatkan panduan mengenai hal ehwal pengawalseliaan serta menggalakkan tahap kerjasama dan inovasi dalam kalangan komuniti FinTech dengan menyediakan kemudahan ruang kerja bersama yang moden dan ruang acara khusus untuk pihak berkepentingan FinTech.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mekar FinTech Innovation Centre, boleh melayari laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.