Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Penubuhan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bermatlamat untuk melahirkan sumber tenaga manusia sebagai hamba Allah dan Khalifah yang berwibawa dalam pendidikan perguruan Islam untuk membentuk masyarakat dan bangsa yang berilmu, beramal dan bertakwa menurut ajaran Ahli Sunnah Waljama’ah bermazhab Syafi’e serta mendukung kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan konsep negara Melayu Islam Beraja (MIB).
Bagi merealisasikan matlamat itu, KUPU SB memerlukan pendidik yang profesional dan berkepimpinan di mana pendidik profesional adalah kemampuan seorang guru untuk melaksanakan tugas asasnya sebagai seorang pendidik dan pengajar yang meliputi kemampuan dalam merencanakan, menjalankan dan menilai hasil pembelajaran.
“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, pendidik profesional itu juga adalah pendidik yang menghayati dan mengamalkan rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam, seperti bersih, jujur dan amanah, titih, lutanan, menghargai masa, berilmu, kreatif, inovatif, sabar, tabah serta bersopan santun”.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar dalam kata alu-aluannya pada penutup Program Kem Motivasi Kepimpinan Pelajar 2019 bagi Program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Sesi Pengajian 2017/2018, KUPU SB yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia Bandar Seri Begawan, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah prestasi terbaik sepanjang Kem Motivasi Kepimpinan Pelajar 2019 yang disempurnakan oleh Dr Haji Adanan. Bagi kategori mahasiswa, hadiah diterima oleh Awang Abdul Hakim Al-Alim bin Janaji dan bagi ka-tegori mahasiswi pula ialah Dayang Nur Aizah binti Haji Duah.
Sementara itu, anugerah prestasi terbaik bagi kategori berkumpulan diterima oleh Kumpulan Dua.
Kem motivasi bertema ‘Melahirkan Pendidik Profesional dan berkepimpinan melalui program Kokurikulum’ itu merupakan salah satu program kokurikulum di bawah program kokurikulum kepimpinan yang dikendalikan oleh Pusat Ilmu Teras dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
