Thursday, March 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melaka tersungkur di laman sendiri

    MELAKA, 26 JUN – Melaka United FC terpaksa akur dengan kekalahan di laman sendiri selepas ditundukkan oleh Sarawak United FC 2-3, meskipun mendahului perlawanan dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

    Pembantu Jurulatih, Nazrulerwan Makmor mengakui beberapa kesilapan kecil dilakukan anak buahnya telah mengundang padah buat pasukan dan ia perlu diperbaiki dalam perlawanan seterusnya.

    “Pemain bermain dengan baik, namun di separuh masa kedua Sarawak sudah mengetahui taktikal pasukan kita dan menunggu untuk serangan balas dan mereka berjaya melakukannya.

    “Kita cuba untuk menyerang namun berjaya dipatahkan pemain lawan dan dapat dilihat mereka juga menggunakan kelebihan ketinggian pemainnya untuk menjaringkan gol dan kita kalah daripada segi itu serta set-piece,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

    Pada perlawanan itu, Melaka mendahului dengan jaringan pada minit ke-17 menerusi penyerang import, Sony Norde sebelum Sarawak menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian menerusi Gonzalo Soto.

    Melaka United kemudian berjaya menambah jaringan menerusi Muhammad Syazwan Andik pada minit ke-34 untuk mendahului separuh masa pertama.

    Penyerang importnya, Francis Kone berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 dan beliau sekali lagi menambah derita tuan rumah menerusi satu lagi gol pada minit ke-92 dan kedudukan 2-3 kekal hingga wisel penamat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda