Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melaungkan azan dan iqamat selain untuk sembahyang fardhu

    Sambungan minggu lepas

    MELAUNGKAN AZAN KETIKA MENURUNKAN MAYAT KE KUBUR

    Ketika menurunkan mayat ke liang kubur setengah orang beranggapan, disunatkan azan sebagaimana disunatkan azan di telinga kanak-kanak yang baru lahir.

    Perkara mengazankan mayat ketika menurunkannya ke liang kubur adalah tidak disunatkan dan pendapat ini telah ditolak sebagaimana disebut keterangannya dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala berkata yang ertinya:

    “Dikatakan (adalah disunatkan juga azan) ketika menurunkan mayat ke kuburnya dengan mengambil qiyas (persamaan) daripada awal kelahirannya di dunia, akan tetapi pendapat ini saya tolak sebagaimana diterangkan dalam kitab Syarh al-‘Ubab”.

    Dalam kitab Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah karangan Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala pernah ditanya mengenai persoalan ini, maka beliau menjawab seperti berikut yang ertinya:

    “Hukumnya adalah bid’ah kerana tidak ada dalil yang menjelaskan mengenainya. Dan adapun yang disalin daripada setengah pendapat yang mengatakan sah itu tidaklah boleh dii’timadkan atau dipegang”.

    Foto Canva

    MELAUNGKAN AZAN KETIKA MENDIRIKAN RUMAH BARU

    Melaungkan azan ketika membangun atau mendirikan rumah baru tidak dituntut dalam agama Islam.

    Walau bagaimanapun ketika memulakan pekerjaan membangun rumah elok membaca Basmalah kerana membaca Basmalah itu mendatangkan berkat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Setiap percakapan atau urusan yang mempunyai kepentingan tidak dimulakan dengan menyebut (nama) Allah ‘Azza wa Jalla maka ia (percakapan atau urusan tersebut) akan terputus (dari mendapat berkat)”. (Hadits riwayat Ahmad)

    Selain itu, elok juga mengiringi dengan doa seperti yang diucapkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda membangun masjid Quba’, Baginda berdoa yang ertinya “Tiada kehidupan melainkan kehidupan akhirat. Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada orang-orang Muhajirin dan orang-orang Anshar”.

    Oleh itu, adalah elok dibuat ketika membangun rumah berdoa memohon perlindungan dan keberkatan atau apa jua doa-doa yang baik untuk rumah dan penghuninya. Sementara itu, melaungkan azan ketika membangun atau mendirikan rumah baru tidak dituntut dalam Islam.

    Sebagai kesimpulan, terdapat keadaan-keadaan dibolehkan melaungkan azan dan iqamat selain untuk melakukan sembahyang lima waktu sebagaimana disebutkan sebelum ini.

    Perkara ini tentu sahaja mengandungi kelebihan yang tersirat dalamnya seperti keadaan aman dan selamat sehingga kembali ke tanah air jika dilaungkan azan dan iqamat ketika pemergian orang yang akan bermusafir, akan menyelamatkan anak damit itu dari gangguan Umm ash-Shibyan (pengikut dari golongan jin) jika dilaungkan azan dan iqamat ke telinga anak damit yang baru lahir. Begitulah juga dengan keadaan-keadaan yang lain sememangnya juga ada sebab yang khusus yang membawa kepada kebaikan jua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda