Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Seorang individu warganegara asing yang tular di media sosial telah dikenakan kompaun sebanyak $1,000 oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) kerana membuang sampah di kawasan Kampung Dadap.
Individu berkenaan telah dikenakan kompaun atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) f 2 Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) iaitu melonggokkan sampah di atas tanah lapang.
Jika gagal menjelaskan denda kompaun dalam tempoh tujuh hari, kes akan dibawa ke mahkamah di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) iaitu jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman tidak melebihi $9,000 bagi individu, manakala bagi syarikat tidak melebihi $30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pihak JDBM juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang dengan menyertakan alamat lokasi berserta gambar-gambar melalui pesanan WhatsApp 8321581.