BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seorang lelaki warganegara Bangladesh, Mohamad Iqbal berusia 37 tahun, telah dikenakan sebanyak $35,100 atau 23 bulan pemenjaraan jika gagal menjelaskan keseluruhan denda selepas didapati bersalah memiliki 25 karton dan 19 batang rokok pelbagai jenis, satu botol minuman keras dan enam paket rokok.
Kesalahan berlaku pada 21 Oktober, jam 7:08 malam di dua lokasi berasingan iaitu di dalam sebuah kereta di kawasan hadapan Sekolah Rendah Kampung Anggerek Desa dan tempat tinggal pekerja di tapak pembinaan Stesen Minyak Berakas, Kampung Anggerek Desa, setelah didapati oleh pegawai-pegawai pencegahan kastam dari Unit Operasi (Cawangan Daerah Brunei dan Muara), Bahagian Komersial dan Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).
Tertuduh didakwa di hadapan Majistret, Sharifah Nur Baqiyah binti Malai Sharan di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 27 Oktober dan didapati bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006.
Semua barang-barang yang terlibat dihukum rampas untuk diserahkan ke kerajaan bagi tujuan pelupusan.
Manakala wang tunai terlibat berjumlah $1,805 dan sebuah unit telefon bimbit juga dihukum rampas untuk diserahkan ke kerajaan bagi tindakan selanjutnya.


