SYDNEY, 1 OGOS – Gara-gara membawa dua McMuffins dan kroisan daging, seorang pengembara tiba di Australia dari Indonesia didenda hampir AS$2,000 selepas pengawal sempadan mengesan kedua-dua makanan itu dalam beg galas mereka.
Anjing pengesan biokeselamatan, Zinta berjaya menghidu ‘makanan seludup berasaskan telur dan daging’ itu di Lapangan Terbang Darwin, yang membawa kepada denda yang tinggi, kata pegawai hari ini. “Ini akan menjadi hidangan makanan segera paling mahal pernah dibayar penumpang ini,” kata menteri pertanian Australia, Murray Watt.
Australia mempunyai undang-undang biokeselamatan amat ketat yang digubal untuk melindungi industri pertanian besar negara itu daripada serangga perosak dan penyakit import. Pihak berkuasa juga kini sedang meningkatkan kewaspadaan selepas merebaknya penyakit kaki dan mulut di Indonesia, dengan semua daging import dari negara itu akan disaring. Penyakit itu tidak membawa risiko kepada manusia namun mudah berjangkit dan boleh jadi teruk dalam kalangan ternakan. – AFP
