Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melayang usin, dipenjara ‘tergoda’ gajet pintar

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Seorang warga tempatan yang bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai telefon bimbit telah dijatuhi hukuman penjara setahun dan diperintahkan untuk membayar pampasan kerugian kepada majikannya berjumlah $7, 285.

    Majistret Kanan Harnita Zelda Skinner hari ini memberi tempoh lima bulan kepada Dayangku Nurul Afizzah binti Pengiran Embran, 22, untuk menyelesaikan perintah pampasan atau menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan.

    Pendakwa Nurul Husna Abidin mendedahkan bahawa Dayangku Nurul Afizzah mendapat pekerjaan itu di sebuah kedai di Kiulap pada Oktober 2022.

    Pendakwa selanjutnya mendedahkan bahawa defendan mula mencuri dari tempat kerja kira-kira sebulan selepas dia diambil bekerja sehingga bulan lepas.

    Semasa tempoh tersebut, dia melarikan empat buah telefon pintar dan seutas jam tangan pintar.

    Gambar Freepik

    Dia telah menggunakan salah sebuah telefon dan jam tangan pintar itu, tetapi menjual selebihnya di platform media sosial Facebook, menurut pendakwa.

    Dia telah memperoleh $2,900 hasil daripada jualan itu dan membelanjakannya untuk dirinya sendiri.

    Mahkamah mendengar bahawa siri kecurian defendan dari kedai itu tidak mungkin terbongkar jika bukan kerana rakan sekerjanya melihat melalui rakaman CCTV pada 24 Jun, yang mendapati defendan mencuri salah sebuah telefon.

    Rakan sekerjanya telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak pengurusan pada 26 Jun, yang seterusnya bersemuka dengan defendan.

    Defendan mengaku mengambil telefon itu, tetapi lebih banyak kecurian terbongkar semasa persemukaan itu, di mana pihak pengurusan mendapati defendan telah mencuri dari kedai sebelum ini.

    Laporan polis telah dibuat pada 1 Julai, membawa kepada penahanannya pada 25 Julai.

    Siasatan mengesahkan defendan mencuri baki gajet yang belum ditemui, yang telah dijual.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda