Oleh Nurdiyanah R.
Suasana indah penuh kesyahduan sentiasa memancarkan sinaran pada hati dan jiwa rakyat dan penduduk tanah air ini tatkala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melafazkan titah pemasyhuran kemerdekaan negara pada kenangan tengah malam di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
“Mulai 1 Januari 1984 Negara Brunei Darusssalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala akan untuk selama-lamanya menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljama’ah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan dan dengan petunjuk serta keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala jua…”
Itulah anugerah Yang Maha Esa yang sentiasa bersinar dan terpahat dalam tinta sejarah untuk menjadi ristaan generasi sepanjang zaman yang menandakan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai falsafah negara. Nilai-nilai budaya Melayu, ajaran agama Islam dan juga sistem pemerintahan beraja telah menjadi warisan sejarah bangsa Brunei yang diamalkan sehingga ke hari ini yang sekali gus menjadi tonggak pegangan hidup rakyat dan penduduk di negara ini untuk penyatuan hidup bermasyarakat dan bernegara, tanpa mengira agama, budaya dan latarbelakang sosial serta sebagai kekuatan benteng daripada anasir-anasir luar.
Islam bagaikan nadi Melayu dan Beraja
Ketiga-tiga komponen Melayu, Islam dan Beraja saling berkait rapat dan tidak berpisah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di mana komponen Islam diletakkan ditengah-tengah antara Melayu dan Beraja yang berperanan penting umpama ‘nyawa’ atau ‘nadi’ MIB.
Manakala hubungan di antara Islam dengan Melayu dan Beraja saling berkait untuk memberi jaminan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan, kebajikan dan kebahagiaan rakyat dan penduduk di negara ini dalam sama-sama mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan demokratik Negara Brunei Darussalam yang bersendikan ajaran Islam menurut akidah Ahli Sunnah Waljama’ah, berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan dengan petunjuk dan reda Allah SWT. Di samping ke arah mewujudkan bumi Brunei Darussalam ini sebagai sebuah Negara Zikir dan Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur iaitu sebuah negara yang aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT.
Kebudayaan Melayu pencetus perpaduan
Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu yang mengandungi tujuh puak jati iaitu Melayu Brunei, Tutong, Belait, Kedayan, Bisaya, Dusun dan Murut. Dengan kata lain, bangsa Melayu merupakan bangsa yang mendominasi keramaian penduduk dengan unsur pemerintahan dan kebudayaan serta kegiatan hariannnya berlandaskan falsafah MIB dengan mengamalkan nilai-nilai tradisi atau kebudayaan Melayu seperti sikap kekitaan, kemuafakatan, hormat-menghormati dan bertolak-ansur serta bertoleransi berlandaskan Islam.
Di samping itu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara juga dilihat bagaikan pengikat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini dalam kehidupan seharian.
Hal ini dapat dilihat melalui sistem pendidikan negara kita bahawa meskipun kepelbagaian bahasa penghantar diterapkan, namun kepelbagaian tersebut sememangnya tidak melupakan kedudukan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara. Beberapa mata pelajaran telah menggunakan Bahasa Melayu tidak kira sama ada di peringkat rendah atau peringkat tinggi termasuk universiti-universiti di negara ini.
Memartabatkan kesucian Islam
Kesucian Islam sebagai satu-satunya agama rasmi di bumi Brunei ini telah menjadi teras pemerintahan kesultanan Brunei sejak kehadiran Sultan Sharif Ali menjadi Sultan Brunei ketiga yang dikenali dengan gelaran ‘Sultan Berkat’ dan pewaris-pewarisnya telah mengukuhkan lagi perkembangan syiar Islam di negara ini iaitu dengan adanya pembinaan masjid pertama dan perlaksanaan hukum-hukum Islam bersandarkan kepada Al-Quran dan hadis menjadi warisan bangsa Brunei masa kini.
Sehubungan itu, Baginda Sultan tanpa kendur-kendur dalam sentiasa memartabatkan kesucian agama Islam dengan mengingati rakyat dan penduduk negara ini supaya mengamalkan dan melaksanakan ajaran-ajaran agama Islam yang merupakan komponen penting menjadi penentu dalam falsafah MIB yang berlandaskan Al-Quran dan hadis agar kita sentiasa selamat dan jauh daripada kemurkaan Allah SWT.
Sepanjang lebih 50 tahun pemerintahan Baginda Sultan, salah satu usaha Baginda Sultan laksanakan secara berterusan bagi mengukuhkan lagi dakwah Islam di Negara Brunei Darussalam ialah melalui pembinaan institusi masjid, yang mana ia merupakan aspek terpenting, bukan sahaja sebagai tempat beribadat bahkan juga sebagai pusat penyebaran agama Islam serta tempat bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berkebajikan bagi umat manusia.
Oleh itu, Penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid telah diperkenankan oleh Baginda Sultan semasa Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1436 Hijrah bersamaan Tahun 2015 Masihi. Ia merupakan salah satu inisiatif bagi menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini mengerjakan amal soleh dan memperoleh ganjaran baik di akhirat kelak. Baru-baru ini, Baginda Sultan telah berkenan merasmikan masjid baharu Kampung Bukit Panggal, Tutong yang dikenali dengan nama Masjid Ar-Rahim pada 17 Mei lalu.
Bagi mengukuhkan lagi syiar Islam, pendidikan agama juga dititikberatkan oleh Baginda Sultan kepada semua rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini. Oleh yang demikian, bagi memastikan dasar pendidikan akademik di negara ini seimbang dengan pendidikan agama, satu undang-undang khas telah digubal iaitu Perintah Pendidikan Agama Wajib 2012 yang telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2013, di mana setiap kanak-kanak Islam yang berusia tujuh tahun ke atas sehingga 15 tahun, yang tinggal di negara ini, adalah wajib untuk didaftarkan mengikuti pendidikan sekolah agama di samping sekolah biasa.
Keprihatinan Baginda Sultan itu bukan setakat bersangkut-paut pada hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat semata-mata, malahan ianya merangkumi kepada soal hukum-hakam, yang mana membabitkan perkara yang dianggap atau dilihat ‘remeh’ tetapi hakikatnya mempunyai impak yang besar kepada pegangan dan kehidupan beragama seperti penutupan premis-premis perniagaan, pejabat, hiburan, rekreasi dan sukan, termasuk pawagam dan padang permainan, gerai atau tamu, pasar dan gedung-gedung perniagaan pada setiap hari Jumaat mulai jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang yang telah berkuat kuasa pada 2 November 2012.
Selain itu, Baginda Sultan juga telah menguatkuasakan Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan) 2017 pada 26 Mei 2017, yang mana perintah ini telah mewajibkan permohonan sijil halal dan permit halal ke atas pemilik perniagaan yang berkaitan dengan makanan di Negara Brunei Darussalam dan ianya sebagai salah satu usaha untuk memastikan makanan dan produk di negara ini terjamin kehalalannya dari semasa ke semasa. Larangan ke atas pengimportan minuman keras dan menghidangkan di tempat awam juga telah dikuatkuasakan.
Hal ini juga jelas menunjukkan secara keseluruhannya bahawa agama yang syumul ini telah menjadi agama yang memandu raja dan rakyat serta pentadbiran negara demi mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat yang sekali gus menyatakan bahawa Brunei bukan sebuah negara sekular.
Raja dan rakyat berpisah tiada
Mahligai bumi Darussalam sentiasa bersinar bak permata di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai seorang raja yang berdaulat dan berjiwa rakyat serta prihatin terhadap kesejahteraan penduduk di negara ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah kepada seramai 451 orang penerima di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong, Daerah Tutong pada 2 Mei lalu. Ianya jelas menggambarkan sikap pemedulian dan keprihatinan Baginda Sultan terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk Baginda serta dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat di negara ini khususnya dalam menikmati pembangunan secara berterusan melalui penyediaan rumah-rumah di bawah skim RPN.
Sehubungan dengan itu, Baginda Sultan juga sentiasa mengambil berat kepada kesejahteraan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah di negara ini demi memastikan para pelajar mendapat pendidikan yang menyeluruh termasuk merangkumi kemahiran kehidupan, daya kreativiti serta keyakinan diri yang tinggi dengan ilmu pengetahuan agama yang menjadi cara hidup mereka. Keprihatinan Baginda Sultan dapat dilihat semasa berkenan mengadakan lawatan di dua buah institusi pendidikan di Daerah Tutong iaitu Sekolah Menengah Muda Hashim, Jalan Sungai Besar Tutong dan Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, baru-baru ini.
Begitulah jelas melambangkan bahawa raja dan rakyat itu berpisah tiada. Itulah kata-kata yang selayaknya menggambarkan betapa eratnya hubungan antara pemimpin dengan yang dipimpin demi satu matlamat untuk membangun negara ke mercu kejayaan di dunia dan akhirat.
Bersama mengukuhkan nilai-nilai MIB
Dalam meniti hari yang penuh berliku-liku ini, kita sememangnya tidak dapat lari dari menerima cabaran dan hambatan dalam semua aspek kehidupan yang sentiasa mengalami kepesatan dalam era globalisasi ini. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk mengukuhkan pengamalan dan penghayatan nilai-nilai MIB bagi menghakis dan membanteras anasir-anasir dalaman dan luaran yang mampu mengganggu-gugat keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Dengan berpegang kepada falsafah MIB, Brunei akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT. Ingatlah betapa pahitnya liku-liku perjalanan yang pernah dilalui oleh sultan-sultan dan rakyat Brunei dalam mempertahankan cara hidup MIB khususnya kesucian agama Islam namun mereka tetap berdiri tegak mempertahankan agama Allah.
Oleh itu, inilah amanah dan tanggungjawab kita bersama yang perlu dilaksanakan dalam era globalisasi masa kini iaitu mempertahankan kesucian agama Islam bagi mendukung hasrat dan cita-cita raja yang kita cintai terutamanya daripada anasir-anasir luar yang cuba memesongkan dan memusnahkan ajaran dan kesucian agama Islam, melemahkan bangsa dan mencemarkan imej kedaulatan negara yang kita sanjungi.
Rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah memayungi Negara Brunei Darussalam dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya, di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, seorang raja, pemimpin dan khalifah di bumi yang kita cintai ini.
Tarikh 15 Julai 2019, genaplah 73 tahun usia Baginda Sultan yang mana pelbagai kejayaan, kemajuan dan perkembangan telah dicapai sepanjang 35 tahun negara menyambut hari kemerdekaan. Ini adalah berkat usaha Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang kemudian diteruskan oleh Baginda Sultan sehingga berjaya mengangkat nama negara yang begitu dikenali dan ‘digalati’ di persada dunia sebagai sebuah negara Melayu berteraskan nilai keislaman yang unggul di bawah sistem pemerintahan beraja yang berdaulat. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!