Melbourne lanjut sekatan hingga 19 Ogos

MELBOURNE, 11 OGOS – Kira-kira lima juta penduduk di bandar kedua terbesar Australia akan dikenakan arahan duduk di rumah kira-kira seminggu lagi selepas pihak berkuasa melanjutkan perintah berkurung hari ini berikutan gagal mengekang penularan COVID-19 terkini di Melbourne.

Bandar itu memasuki perintah berkurung kali keenam Khamis lalu selepas kemunculan kluster varian Delta di sekolah Melbourne, dan ia dilaporkan merebak pantas.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, berkata perintah berkurung akan dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga 19 Ogos, selepas 20 kes baharu yang dikesan malam tadi termasuk beberapa kes ‘misteri’.

“Terdapat banyak kes, dengan asal usulnya tidak jelas untuk kita….. untuk kita keluar dengan selamat daripada situasi perintah berkurung sekarang,” katanya. Di Sydney, lebih lima juta penduduk menjalani perintah berkurung tujuh minggu di bawah arahan kekal duduk di rumah, yang dijadualkan kekal hingga hujung Ogos.

Negeri di New South Wales itu merekodkan 344 kes baharu hari ini, yang membawa keseluruhan 6,100 kes sejak penularan yang mula dikesan pada pertengahan Jun lalu. Ratusan ribu penduduk di luar Sydney termasuk di Newcastle, Teluk Byron dan baru-baru ini, Dubbo, berada dalam perintah berkurung selepas kes muncul dalam beberapa hari yang lalu.

Pihak berkuasa menaruh harapan kepada keupayaan program vaksinasi baru, dengan mencadangkan beberapa sekatan dapat dilonggarkan jika ramai orang memperoleh vaksin dalam beberapa minggu akan datang. – AFP