SINGAPURA – Mengalami ‘hari buruk’ di pejabat? Bagi menghilangkan tekanan, Singapura kini mempunyai satu penyelesaian – Sebuah ‘bilik kemarahan’ atau tempat menghilangkan tekanan – menggunakan kayu pemukul untuk memecahkan pelbagai jenis barangan dari botol kaca sehinggal televisyen.
‘Fragment Room’ ini terdiri daripada ruangan kosong seperti sel berdindingkan konkrit, di mana pelanggan dikehendaki membayar bagi melegakan tekanan ini dengan cara yang unik.
Selepas diberi pakaian lengkap, topi keledar, sarung tangan dan juga kasut, orang ramai boleh mula memecahkan pelbagai barangan dari pinggan sehinggalah pencetak.
Tempat ini telah dibuka enam bulan yang lalu dan penduduk bandar telah menunjukkan minat terhadap kemusnahan – bagi melegakan tekanan mereka. Pengunjung yang telah mengunjungi tempat ini adalah terdiri daripada pekerja pejabat, pelajar-pelajar dan juga pesara dalam usia 60an.
Walaupun Singapura adalah sebuah negara moden dan mewah, namun ia juga terkenal dengan tahap stres di kalangan rakyatnya, dari kanak-kanak sekolah sehinggalah golongan dewasa, yang berada di bawah tekanan yang tinggi untuk melakukan sesuatu dengan baik sejak dari peringkat umur awal lagi.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/E-12p4-rubie_041117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/F-10p3-rubie_041117.jpg)
“Semua orang di Singapura – tidak kira di mana anda berada, apa sahaja latar belakang anda, apa saja yang anda lakukan, berapa saja umur anda – semua orang pasti mengalami tekanan,” kata Royce Tan, pengasas ‘Fragment Room’ kepada AFP.
“Samaada di sekolah, sama-ada di tempat kerja, samaada dalam hubungan peribada anda sendiri, segalanya pasti memberi tekanan.”
Salah satu daripada beberapa ‘bilik kemarahan’ sedemikian di bandar-bandar raya di seluruh dunia, ia mempunyai dua tawaran utama: bagi slot setengah jam, dengan sejumlah barangan yang terhad untuk dihancurkan adalah bernilai Sg$38 (AS$28), atau Sg$350 ‘pek penghancuran’ yang membolehkan pelanggan untuk menghancurkan sebanyak mungkin dalam masa setengah jam.
Kebanyakan item disediakan oleh ‘Fragment Room’, yang terletak di sebuah kilang mi yang tidak digunakan lagi, di pusat Singapura, namun para pelanggannya juga boleh membawa barangan mereka sendiri. Dan barangan yang paling popular untuk dihancurkan? Pencetak.
Di kedai itu baru-baru ini, empat orang pelajar, berusia 18 dan 19 tahun, yang baru saja selesai daripada peperiksaan mereka, kelihatan sangat seronok dalam satu sesi itu, dan bunyi kayu pemukul menghancurkan pencentak dapat didengar melalui dinding konkrit ruangan itu.
Pelajar undang-undang Kylie Low, 18, kelihatan berpeluh dan kasutnya diliputi dengan dakwat pencetak, dan dia menggambarkannya sebagai satu ‘pengalaman katarsis’.
“Apabila kami berada di sekolah, kami sentiasa mencetak apa saja untuk kegunaan kelas – jadi apabila berpeluang menghancurkan pencetak, ia sangat luar biasa,” katanya. – AFP