Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melestarikan keindahan alam sekitar

    Oleh Yusrin Junaidi, Sim Y. H. & Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN/TUTONG – Dalam memupuk kesedaran masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan menjaga kawasan sekeliling daripada sampah-sarap dan semak samun, pelbagai pihak telah mengadakan kempen kebersihan di pelbagai lokasi.

    Antara yang mengadakan kempen kebersihan itu ialah Persatuan Brunei-AS (BUSA) yang disertai oleh lebih 70 orang terdiri daripada para pelajar dari institusi pendidikan yang disokong oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas, anggota BUSA dan sukarelawan dari Taman Rekreasi Bukit Dadap (TRBD), Buzzing Bees serta Laksamana College of Business Fitness Club.

    Kempen yang diselajurkan dengan aktiviti riadah di Taman Rekreasi Bukit Dadap di Kampung Kilanas hari ini itu adalah sempena menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan ke-37 Negara Brunei Darussalam.

    Hadir melancarkan acara itu ialah Penyelaras ASEAN di Kedutaan Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Marc Porter selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Pengerusi MPK Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu dan Pemangku Ketua Desa Kampung Kilanas, Haji Mohd Ameerolbahyrnee bin Haji Abdul Hamid.

    Marc Porter bersama ahli BUSA bergambar ramai dengan berlatarbelakangkan Wasai Tasek Meradun.
    Marc Porter ketika menyempurnakan penanaman pokok semasa aktiviti riadah dan kempen kebersihan di Taman Rekreasi Bukit Dadap, Kampung Kilanas.
    Ahli-ahli BUSA turut melalui Gua Harimau.
    Penduduk kampung yang menyertai kempen bergotong-royong, memotong rumput dan membersihkan kawasan Bukit Riadah, Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor, Mengkubau.
    Antara ahli MPK Birau yang menyertai kempen kebersihan di sekitar Pusat Kemasyarakatan Kampung Birau, Daerah Tutong, baru-baru ini – Gambar serahan MPK Birau

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Haji Yusra bin Haji Jaafar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden BUSA, Dayang Salimah binti Haji Saim.

    Dayang Salimah dalam ucapannya, berkata kempen tersebut diharap akan dapat meningkatkan kesedaran dalam kesejahteraan alam sekitar dan mengajar orang lain, khususnya kaum muda, pentingnya menjaga alam sekitar kita.

    Selain itu, katanya, aktiviti rekreasi itu juga akan dapat memberi impak positif dan dapat memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran para belia mengenai faedah berjalan kaki atau mendaki sambil berkhidmat kepada masyarakat dan persekitaran.

    Beliau turut menekankan kepentingan melindungi alam dan menjaga kebersihannya setiap saat dengan mendidik masyarakat agar berhenti membuang sampah di hutan dan di kawasan aliran air serta mendorong mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka dan orang lain serta memastikan laluan yang dijejaki bebas sampah.

    Kempen mendaki dan membersihkan jejak laluan dimulakan dengan pemanasan badan yang diketuai oleh sukarelawan TRBD, dan diikuti dengan aktiviti penanaman pokok untuk memperingati acara tersebut dengan taklimat ringkas mengenai taman rekreasi tersebut disampaikan oleh Awang Hariel bin Haji Simpol.

    Para peserta yang menempuh perjalanan sepanjang 1.5km untuk menuju ke Wasai Tasek Meradun itu turut melalui Gua Harimau, selain berpeluang menyaksikan semua flora dan fauna.

    Sementara itu, Komuniti Sukarelawan Mengkubau hari ini turut mengadakan kempen bergotong-royong, memotong rumput dan membersihkan kawasan Bukit Riadah, Rancangan Perumahan Negara (RPN), Kampung Panchor, Mengkubau.

    Kempen itu disertai oleh lebih 30 orang yang terdiri daripada penduduk kampung dan turut sama mengikuti kempen itu ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim, ahli-ahli MPK Mentiri, Kumpulan Al Uswah, Kesatuan Ibu Bapa Alumni PKBN dan beberapa buah syarikat kontraktor tempatan.

    Antara tujuan kempen itu adalah untuk membersihkan dan mencantikkan persekitaran kawasan selain memupuk semangat cintakan kebersihan pada kampung dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

    Kawasan Bukit Riadah merupakan tempat gerakan aktiviti penduduk kampung untuk melaksanakan kegiatan riadah dan sekarang ia terbiar dengan rumput yang semakin panjang disebabkan kurangnya aktiviti yang diadakan berbanding pada masa dahulu.

    Manakala itu, sembilan orang ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Birau telah mengadakan kempen kebersihan di sekitar Pusat Kemasyarakatan Kampung Birau, Daerah Tutong, baru-baru ini, dengan hasrat untuk menjaga kebersihan alam sekitar di negara ini.

    Kempen kesukarelawan itu telah diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Birau, Haji Ibrahim bin Haji Ratu dengan melibatkan kerja-kerja memotong rumput dan membersihkan pohon-pohon terbiar serta yang mengganggu di sekitar kawasan pusat berkenaan.

    Dengan adanya aktiviti berkebajikan itu, ia secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat agar lebih peka dalam menjaga kebersihan persekitaran bersama dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda