Friday, April 18, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melestarikan Warisan Melayu

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Bagi menceriakan acara Regata Brunei Darussalam 2019, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat merasmikan Pameran Regata 2019 di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Pameran anjuran Jabatan Muzium-muzium itu bertemakan ‘Melestarikan Warisan Teknologi Melayu: Memburis Perahu’.

    Turut diadakan semasa pameran berkenaan ialah demonstrasi memburis perahu yang dilakukan oleh seorang pemburis perahu berpengalaman hampir 40 tahun, Haji Asgar bin Othman dari Kampung Tamoi Ujung yang turut menyembahkan taklimat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia sejurus keberangkatan Baginda.

    Tema pameran berkenaan dipilih bersesuaian dengan aktiviti memburis perahu yang menjadi lambang kebudayaan bangsa Melayu sekali gus menonjolkan budaya material utama dalam mengenali kehidupan orang-orang Brunei khususnya bagi penduduk di Kampong Ayer.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan merasmikan Pameran Regata 2019 di Galeri Seni Dermaga Diraja. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
    Baginda Sultan berkenan menyaksikan demonstrasi memburis replika perahu oleh Haji Asgar. Turut berangkat menyaksikan demonstrasi ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenaan menyaksikan foto-foto warisan acara lumba perahu zaman dahulu kala.

    Objektif Pameran Regata 2019 adalah untuk menyebarkan informasi dan pengetahuan ilmiah mengenai budaya memburis perahu di Kampong Ayer.

    Perisian utama pameran merangkumi penglibatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam Acara Regata 2018, penglibatan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dalam Acara Regata dalam tahun 1960an dan 1970an serta penglibatan kerabat diraja dalam acara Regata Brunei Darussalam pada 2018.

    Beberapa tayangan video dokumentasi regata yang menunjukkan aktiviti bersangkut paut dengan lumba perahu serta rakaman mengenai perahu-perahu yang digunakan oleh masyarakat Brunei turut dipertontonkan.

    Pameran tahun ini turut mengetengahkan beberapa koleksi muzium iaitu beberapa model perahu seperti perahu Gubang Pengalu dan perahu jenis bidar serta peralatan-peralatan yang digunakan dalam aktiviti memburis perahu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda