GENEVA, 12 NOV – Mellon Blue, sebutir berlian unik warna biru terang seberat 9.51 karat yang pernah dimiliki oleh pengumpul seni Amerika Syarikat (AS), Bunny Mellon, dijual pada harga AS$25.6 juta dalam lelongan kelmarin.
Berlian tersebut dijual oleh rumah lelong Christie’s di Geneva sebagai sebahagian daripada jualan Magnificent Jewels di bandar Swiss itu. Ia dijual pada harga 20,525,000 franc Switzerland di Hotel des Bergues, melebihi anggaran awal antara 16 hingga 24 juta franc.
Rahul Kadakia, yang mengendalikan jualan itu, berkata harga berkenaan membuktikan ‘selera elit dalam kalangan pengumpul untuk batu permata luar biasa dan bersejarah.’
Batu permata itu, dipasang dalam cincin berbentuk ular, pernah dimiliki oleh Rachel Lambert Mellon atau lebih dikenali sebagai Bunny Mellon, seorang pakar hortikultur, dermawan dan pengumpul seni dari AS.
“Mellon Blue adalah batu yang luar biasa,” kata Max Fawcett, ketua bahagian barang kemas Christie’s di Geneva.

“Lebih daripada itu, ia juga simbol gaya hidup era lampau, satu gaya hidup dikaitkan dengan kekayaan era kegemilangan.”
Berlian dengan potongan cantik itu dinilai sebagai tiada cacat dalaman.
Berlian itu terakhir dilihat secara umum pada 2014 apabila ia dilelong di New York selepas kematian Bunny Mellon pada usia 103, diajual melebihi AS$32 juta.
Tobias Kormind, pengarah urusan pengeluar barang kemas berlian dalam talian terbesar Eropah, 77 Diamonds, berkata dia menjangkakan harga berlian ini akan meningkat lebih tinggi kelmarin.
“Ketegangan geopolitik… dan ekonomi China yang lemah yang menghalang ramai pembeli biasa, membuat suasana bilik lelongan lebih berhati-hati,” katanya.
“Sama ada sikap berhati-hati ini akan memberi kesan kepada baki musim lelongan di Geneva masih belum dapat dipastikan.” – AFP

