Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melly Goeslow terbuka dengan perbezaan pendapat

    Luahan tidak puas hati segelintir pihak dengan pemberian anugerah khas Gempak Most Wanted Awards 2023 yang berlangsung pada malam Ahad tidak membuatkan penyanyi dan komposer Melly Goeslaw berkecil hati.

    Memetik laporan mStar, Melly atau Melliana Cessy Goeslow sebaliknya terbuka dengan setiap komen kerana menganggap setiap perbezaan harus dihargai.

    “Saya kurang tertarik untuk berfikir mengenai kecaman sebab secara peribadi, saya terbuka orangnya.

    “Saya membuka diri saya menerima perkara baru dan perbezaan dengan setiap orang ada pandangan mereka sendiri.

    “Di Indonesia sendiri ada juga beberapa anugerah diberikan kepada artis di luar negara termasuk dari Malaysia, Singapura, Filipina dan sebagainya.

    “Keterbukaan harus diraikan di semua tempat untuk kita berekespresi dengan lebih luas,” katanya.

    Melly berkongsi perkara itu semasa hadir di sidang media Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friend yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang kelmarin.

    Pada sidang media itu, Melly mengumumkan bakal mengadakan konsert pada 1 Jun 2024 di Axiata Arena.

    Dalam pada itu, Melly memberitahu beliau bukan orang yang gemar membaca komen kerana ada perkara lebih penting perlu dilakukan.

    Jelasnya setiap komen dan kritikan netizen adalah di luar kawalan tetapi tugasnya memberi inspirasi kepada peminat.

    “Saya bukan jenis baca komen dan ia sesuatu yang boleh saya kawal dalam kehidupan.

    “Tapi orang lain kita tak boleh kawal. Pada saya, selama apa saya buat adalah benar dan menginspirasi kepada banyak orang, Insya-Allah akan mendapat perkara baik juga,” luahnya.

    Pada GMWA2023 Melly menerima anugerah Gempak Hall Of Fame 2023 namun menimbulkan rasa kurang senang netizen.

    Menurut segelintir netizen masih ramai lagi penyanyi dan komposer yang layak di Malaysia untuk mendapat anugerah tersebut. – Agensi

    Melly Goeslow hanya mahu memberi inspirasi kepada peminat. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda