Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melly rai ‘pelajar’ lulus cemerlang

    Lebih setahun memulakan apa yang dikatakan sesi pengajian sekolah muzik melalui Konsert Ada Apa dengan Melly? Live In Kuala Lumpur di ibu negara, Februari tahun lalu, Melly Goeslaw boleh tersenyum bangga apabila kira-kira 9,000 ‘penuntut’ diumum lulus cemerlang.

    Justeru, bagi meraikan kejayaan mereka, penyanyi dan komposer tersohor dari Indonesia itu kembali dengan persembahan berskala besar pada Konsert Ada Apa Dengan Melly and Friends? di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

    Sejak awal petang lagi, perkarangan stadium tertutup itu dibanjiri peminat yang rata-rata mengenakan pakaian sekolah termasuk persalinan sukan yang menjadi tema acara itu, lapor BH Online.

    Cuma, apa yang berbeza, peminat dihadiahkan topi graduan pelbagai warna sebagai tanda selesai menamatkan pengajian.

    Setahun bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran, usaha serta penat lelah ‘pelajar’ berhasil apabila Melly selaku ‘pengetua’, memuji pencapaian mereka.

    Melly masih mampu menguasai pentas dengan persembahan penuh bertenaga, lantas membuatkan penonton bersorak gembira sebagai tanda terhibur pada usia separuh abad. – Sinar Harian

    Pujian itu berdasarkan kemampuan ‘pelajar’ menghafal lirik setiap lagu yang didendangkan pada konsert yang dibawa khas AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment.

    Bukan setakat menghafal, malah ‘pelajar’ menghayati setiap lirik lagu yang dinyanyikan Melly terutama dendangan ‘galau’ seperti Bimbang, Denting, Gantung, Ratusan Purnama dan Ada Apa Dengan Cinta.

    Menyingkap tirai persembahan dengan lagu Tak Tahan Lagi, Melly atau nama penuh, Meliana Cessy Goeslaw menghangatkan stadium dengan lagu rancak Ingin Mencintai dan Dicintai, Pecinta Wanita dan Berdua Lebih Baik.

    Biarpun ada antara lagu terbabit sudah dinyanyikan dalam konsert terdahulu, namun itu bukanlah halangan untuk peminat menyanyi dan menari bersamanya.

    Terkenal dengan imej eksentrik, penampilan Melly pada malam itu cukup memukau melalui tiga persalinan termasuk busana denim dihiasi ribuan manik dan mutiara bernilai RM130,000 hasil sentuhan pereka terkenal, Ezuwan Ismail. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda