Kekerapan aktor popular, Zul Ariffin muncul dalam pelbagai naskhah terbitan Infinitus Entertainment Sdn Bhd mengundang gurauan sinis daripada rakan industri mengatakan dirinya ‘anak emas’ syarikat produksi itu.
Zul atau nama sebenar, Zulkifli Ariffin, 38, menyifatkan tanggapan diberikan sebagai persepsi orang ramai sahaja.
Bintang filem Sheriff: Narko Integriti itu berkata, Infinitus Entertainment membuka laluannya dalam bidang perfileman.
“Isu anak emas ini tidak sepatutnya timbul. Kalau kita amati, keadaan yang sama berlaku di stesen televisyen (TV). Pusing-pusing muka sama sahaja. Mungkin sebab keselesaan dalam bekerjasama.
“Syarikat produksi inilah yang memberi peluang pertama kepada saya untuk memegang watak utama dalam filem.
“Tak mengapalah kalau ada bergurau melabelkan saya ‘anak emas’. Asalkan, saya beri kualiti kerja yang mereka mahukan,” katanya.
Zul juga menyangkal dakwaan hubungan baik dengan Penerbit Eksekutif Infinitus Entertainment, Gayatri Su-lin Pillai menjadi faktor mudah ditawarkan membintangi projek filem, lapor mStar.
“Kalau ada yang berpandangan begitu, jangan. Gayatri paling tidak memilih bulu. Bila-bila masa sahaja boleh ambil orang lain dan tidak pilih saya. Saya tak akan dapat ‘diskaun’.
“Saya bukan artis yang mengamalkan budaya bermesej dengan penerbit semata-mata untuk mendapatkan tawaran.
“Saya mahu berdiri atas kaki sendiri. Saya lebih rela tidak diambil bekerja daripada gunakan jalan itu,” katanya.
Tambah Zul, dia juga tidak memaksa orang lain untuk mengambilnya berlakon.
“Ini prinsip saya. Saya bukan pelakon yang suka melobi. Kalau awda merasakan berbaloi untuk menggunakan khidmat lakonan saya, teruskan.
“Tetapi, jika awda berpandangan saya tidak memenuhi kriteria, kita boleh bincangkan. Tiada paksaan dan tekanan,” katanya.
Antara filem lain terbitan Infinitus Entertainment menampilkan Zul sebagai teraju utama adalah J Revolusi, Sangkar, Talbis Iblis, J2: J Retribusi dan beberapa lagi. – Agensi