(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Memberikan hutang kepada mereka yang memerlukannya, yang digunakan bagi tujuan yang dibenarkan oleh syarak, adalah antara perbuatan yang digalakkan dalam Islam, serta merupakan sikap yang mulia kerana membantu meringankan kesempitan dan kesusahan orang lain. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Hajj potongan ayat 77 yang tafsirnya:
“…Serta kerjakanlah amal-amal kebajikan…”
(Surah al-Hajj: 77)
Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. dalam sebuah hadis yang panjang bahawa huluran bantuan kepada mereka yang memerlukannya, termasuklah bantuan dari segi kewangan, akan mendapat ganjaran yang istimewa. Sabda Rasulullah yang maksudnya:
“Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. (Dan) sesiapa yang memberikan kemudahan kepada orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat.”
(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Mengelak daripada berhutang
Mengelakkan diri daripada berhutang tanpa ada keperluan, lebih-lebih lagi sehingga menyebabkan seseorang itu dibebani oleh hutang, adalah suatu langkah yang sangat bijak. Tabiat suka berhutang juga wajar dihindari kerana melihat kepada akibat yang bakal dihadapi.
Bagaimanapun dalam hal hutang ini, Rasulullah sangat tidak menyukai orang Islam yang berhutang kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Justeru itu Rasulullah selalu berdoa meminta perlindungan kepada Allah daripada berhutang. Telah dikhabarkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah r.a. kepada ‘Urwah bin az-Zubair r.a., antara doa Baginda yang maksudnya:
Maksudnya: ‘‘Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada dosa dan dilanda hutang.’’
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Apabila Rasulullah ditanya mengapa Baginda banyak meminta perlindungan daripada berhutang, Baginda menjawab: “Kerana sesungguhnya seseorang itu jika dia berhutang, dia bercakap lalu dia berdusta, dan dia berjanji lalu dia mungkir.”

Selain itu satu riwayat yang dishahihkan oleh Imam Ahmad, al-Nasa’i dan al-Hakim daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. beliau berkata yang maksudnya:
“Saya mendengar Rasulullah bersabda: “Aku berlindung kepada Allah daripada kekufuran dan hutang.”
Lalu berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah! Adakah setanding hutang itu dengan kufur?”
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ya!”
(Hadis riwayat an-Nasa’ie, Ahmad dan al-Hakim)
Menurut syarah hadis di atas, hutang itu boleh menghalang seseorang daripada masuk ke syurga sebagaimana juga perbuatan kufur itu menghalang seseorang daripada memasukinya, melainkan hutang itu dilunaskan.
Demikian antara pendirian Rasulullah mengenai hutang dan seterusnya sebagai peringatan kepada seseorang agar bersikap bijak mengelakkan diri daripada berhutang tanpa keperluan.
Menyegerakan membayar balik hutang
Dalam perkara hutang, antara tanggungjawab orang yang berhutang ialah membayar balik hutang tersebut. Menurut Islam, hukum membayar balik hutang adalah wajib dan wajib dibayar dengan segera jika ada kemampuan. Demikian ditegaskan dalam sabda Rasulullah yang maksudnya:
“Orang yang mempunyai kemampuan yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Ibnu Hajar al-Haitsami, sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan berkemampuan itu adalah melakukan dosa besar.
Sekiranya hutang tersebut belum dapat dibayar disebabkan kesempitan hidup dan seumpamanya, ia tetap menjadi tanggungan dan tidak gugur daripada kewajipan orang yang berhutang untuk membayarnya.
Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa diri si penghutang khususnya jika hutang tidak dibayar.
Disebutkan antaranya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan. ”
(Hadis riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar r.a. Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Di antara risikonya lagi, sebagai contoh, suatu peristiwa pernah terjadi di mana Rasulullah enggan menyembahyangkan jenazah apabila Baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai tanggungan hutang.
Tidak membayar hutang dengan sengaja
Orang yang berhutang dengan niat tidak akan membayar hutangnya pula adalah melakukan dosa besar. Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya.
Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu terhadap hutang-piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayar balik hutangnya.
Terdapat banyak dalil daripada hadis Rasulullah yang menjelaskan akibat dan balasan bagi mereka yang sengaja tidak membayar hutang. Antaranya ialah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar), maka Allah akan membinasakan dia.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Orang yang enggan membayar hutang itu dianggap sebagai pencuri sepertimana dalam sabda Rasulullah yang maksudnya:
“Sesiapa juga yang berhutang dan dia bercita-cita tidak akan membayarnya, dia akan menemui Allah sebagai pencuri.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Ibnu Hajar Al-Haitsami Rahimahullah dalam kitabnya az-Zawajir menyebutkan bahawa dosa besar yang kedua ratus lima dan dua ratus enam ialah: Orang yang berhutang dengan niat tidak akan membayarnya atau berhutang dengan tidak ada harapan untuk membayarnya sekira-kira dia tidak berhajat sangat untuk berhutang dan tidak ada baginya suatu jalan nyata yang membolehkan dia membayar hutangnya, sedangkan orang yang memberi hutang itu pula tidak mengetahui akan hal orang berhutang itu.
Pemberi hutang tidak dapat dikesan
Dalam perkara membayar balik hutang, ada kalanya si pemberi hutang tidak dapat dikesan, sama ada dia telah berpindah dan tidak ditemui, tidak diketahui di mana dia berada ataupun sudah meninggal dunia.
Demikian juga ahli warisnya, sama ada tiada ataupun ada, akan tetapi tidak diketahui atau ditemui. Dalam keadaan begini apakah yang perlu dilakukan oleh orang yang berhutang?
Pada prinsipnya orang yang berhutang hendaklah berusaha mencari pemberi hutang itu. Sekiranya pemberi hutang sudah meninggal dunia, maka hutang itu tetap wajib dilunaskan, iaitu dibayarkan kepada ahli warisnya, jika ada dan diketahui.
Sekiranya pemberi hutang itu pula tidak ditemui dan tidak diketahui di mana dia berada, langkah seterusnya ialah mencari ahli waris pemberi hutang. Jika ahli warisnya ditemui atau diketahui, maka hutang tersebut dibayarkan kepada ahli warisnya.
Sekiranya pemberi hutang tidak diketahui di mana dia berada atau tidak ditemui dan segala usaha mencarinya tidak membuahkan hasil, atau dia sudah meninggal dunia serta tiada ahli warisnya, ataupun ada ahli warisnya akan tetapi mereka juga tidak diketahui atau ditemui, maka dalam keadaan ini, orang yang berhutang itu bolehlah bersedekah dengan jumlah hutang tersebut diberikan kepada fakir miskin yang berhajat atau kepada ahli ilmu yang sedang menuntut ilmu atau dengan jumlah tersebut diberikan untuk (maslahat umum seperti) masjid, sekolah ugama atau tempat ibadat dan sembahyang.
Selain itu, pahala segala perbuatan di atas diperuntukkan kepada pemberi hutang.
Orang yang berhutang juga memperbanyakkan istighfar, mendoakan pemberi hutang dan melakukan amal kebajikan bagi pihaknya, dengan niat apabila dia berjumpa atau menemui pemberi hutang atau warisnya dia akan mengganti semula hutang tersebut.