Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu mercu tanda yang penting dalam sejarah evolusi landskap industri hiliran tenaga negara dengan penandatanganan perjanjian komersial antara Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Syarikat Brunei Shell Marketing Sdn Bhd (BSM) dengan Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) yang menandakan era baharu bagi industri minyak dan gas negara ke arah memacu pertumbuhan masa hadapan Brunei.
Penandatanganan perjanjian itu memberikan peluang kepada BSP dan BSM untuk bersama-sama menyumbang kepada matlamat strategik kerajaan Brunei dalam membangunkan industri hiliran yang kukuh dan dinamik dengan mengembangkan rangkaian nilai serta jejak domestik sektor tenaga dan memperoleh nilai dalam negara (in-country value) sebanyak yang mungkin.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Komersial, BSP, Dayang Farida Talib dalam kata alu-aluannya pada majlis penandatanganan perjanjian-perjanjian komersial antara BSP, BSM dan Hengyi yang berlangsung di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan perjanjian komersial berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan khas.


Dayang Farida menambah bahawa penandatanganan perjanjian komersial itu membawa satu langkah besar ke hadapan kepada industri tenaga, ke arah mempelbagaikan sektor tenaganya dan campuran produk eksport pada masa yang sama, menjana keberadaan dalam pasaran produk global berikutan dengan reputasi pemasaran mentah yang sudah tertubuh.
Beliau menerangkan bahawa BSP dan BSM menerusi perjanjian berkenaan, bukan sahaja dapat memenuhi permintaan mentah dan produk Brunei tetapi juga menyokong pembangunan perindustrian dan jualan hiliran bagi membolehkan manfaat ekonomi signifikan dan memperbaiki rangkaian nilai minyak dan gas domestik.
Beliau turut berkata bahawa ia juga sebahagian daripada hasrat BSP ke arah memacu masa hadapan Brunei sambil berhijrah ke arah alternatif tenaga yang lebih baik dan bersih.
Di samping itu, ia juga membolehkan BSM untuk memaksimumkan lagi nilai bagi Brunei menerusi pematangan peluang-peluang perniagaan baharu.
Pada majlis berkenaan, menandatangani perjanjian bagi pihak BSP ialah Pemangku Pengarah Urusan, Yap Kong Fah, bagi pihak BSM ialah Pengarah Urusan, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Hengyi pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Chen Lian Cai dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.
Penandatanganan perjanjian-perjanjian komersial antara tiga buah syarikat berkenaan menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam perjalanan Negara Brunei Darussalam menuju pempelbagaian sektor tenaga dan campuran produk eksport serta pada masa yang sama menubuhkan keberadaan antarabangsa dalam pasaran penapisan global.
Perjanjian-perjanjian komersial berkenaan juga akan menyaksikan bahan api Brunei berubah kepada spesifikasi bahan api mesra alam pada 2020. Perjanjian berkenaan juga akan membolehkan pembaikan dalam rangkaian nilai minyak dan gas domestik dengan BSP membekalkan minyak mentah ke Loji Penapisan Hengyi di mana ia akan memberikan produk minyak ditapis kepada BSM untuk diedarkan ke pasaran Brunei.
Usaha itu akan memenuhi permintaan produk domestik, menyokong jualan hiliran dan pembangunan perindustrian di Negara Brunei Darussalam serta memberikan faedah ekonomi yang signifikan.
Penandatanganan perjanjian-perjanjian komersial itu adalah sebahagian daripada usaha meluas kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai wawasan 2035, memantapkan dan mempelbagaikan ekonomi negara dengan membangunkan kapasiti dalam industri hiliran berorientasikan eksport serta mengembangkan lagi rangkaian nilai sektor tenaga.
Ia juga merupakan sebahagian daripada tumpuan BSP dan BSM dalam mencapai misinya untuk memacu masa hadapan Brunei.