Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memadaikah waqaf hanya dengan niat sahaja?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Waqaf merupakan satu amalan mulia dan istimewa kerana orang yang melaksanakannya berjaya membelanjakan hartanya bagi tujuan membantu atau memudahkan orang lain dan mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Ganjaran pahala buat si pewaqaf itu pula tetap berterusan diterimanya selama mana harta atau benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan masih dimanfaatkan oleh orang lain walaupun si pewaqaf itu sudah meninggal dunia.

    Waqaf bermaksud menahan suatu harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut tetap kekal fizikalnya, di mana pewaqaf memutuskan hak tasharrufnya terhadap benda atau barang yang diwaqafkannya, untuk dikhususkan manfaatnya kepada pihak penerima yang diharuskan dan sabit kewujudannya.

    Maksud pewaqaf menahan suatu harta miliknya dengan memutuskan hak tasharrufnya terhadap harta tersebut ialah pewaqaf memberhentikan haknya terhadap harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, hibah, gadai, wasiat dan pusaka.

    Kedudukan harta waqaf kekal sebagai hak Allah. Dengan demikian, ia tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah, diwarisi dan yang seumpamanya. Hanya manfaatnya diperuntukkan untuk orang-orang yang diwaqafkan kepadanya (penerima waqaf). Berbeza dengan sedekah yang bermaksud pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Gambar Freepik

    Oleh itu, barang sedekah yang telah diserahkan kepada orang yang menerima sedekah boleh diperlakukan mengikut keinginan penerima sedekah.

    Walau bagaimanapun, waqaf tetap juga bermanfaat sebagai sedekah. Ia disebut sebagai sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan.

    Ini kerana ganjaran pahala orang yang berwaqaf akan berkekalan selama mana harta yang diwaqaf itu masih boleh diambil manfaatnya.

    Namun, timbul persoalan adakah memadai pemindahan harta atau benda daripada tuan punya harta yang hendak diwaqafkan itu kepada milik Allah Subhanahu wa Ta‘ala hanya dengan niat orang yang hendak berwaqaf semata-mata tanpa ia berlafaz waqaf? Adakah si penerima dapat menerima manfaat harta atau benda tersebut hanya dengan berdasarkan hasrat orang yang hendak berwaqaf tanpa ada lafaz waqaf?

    SIGHAH WAQAF

    Rukun waqaf ada empat, iaitu:

    1. Pewaqaf (orang yang berwaqaf)
    2. Barang yang diwaqaf
    3. Penerima waqaf
    4. Sighah (lafaz waqaf)

    Sighah dalam perkara waqaf bermaksud lafaz ijab daripada orang yang berwaqaf. Tidak sah waqaf kecuali dengan berlafaz waqaf.

    Manakala lafaz qabul hanya disyaratkan jika penerima barang waqaf itu ditentukan oleh orang yang berwaqaf. Sekiranya penerima tidak ditentukan, maka tidak perlu kepada lafaz qabul.

    Lafaz waqaf (lafaz ijab daripada orang yang berwaqaf) itu pula terbahagi kepada dua iaitu lafaz sharih dan lafaz kinayah.

    1. Lafaz waqaf Sharih (jelas) iaitu lafaz yang secara jelas menunjukkan waqaf, dan tidak membawa kepada maksud yang lain. Lafaz yang dilafazkan secara jelas ini tidak memerlukan orang yang berwaqaf itu untuk berniat.

    Lafaz al-waqf atau apa-apa yang terbina daripada lafaz tersebut seperti waqaftu adalah dianggap lafaz yang jelas. Contohnya seseorang melafazkan: “Aku mewaqafkan rumah ini untuk dijadikan surau di kawasan ini” atau “Tanahku ini diwaqafkan ke atasnya”.

    Jika seseorang itu hanya menyebut: “Aku mewaqafkan rumah ini” sahaja tanpa menyebut ‘kepada’ atau ‘untuk’ atau ‘ke atas’ apa atau siapa, maka waqafnya itu tidak sah.

    Selain daripada lafaz al-waqf, pendapat shahih dalam mazhab as-Syafi‘i juga menyebutkan bahawa lafaz at-tahbis dan at-tasbil atau apa-apa yang terbina daripada keduanya, seperti habbastu atau sabbaltu sebagai lafaz sharih perbuatan waqaf.

    Ini kerana kedua lafaz tersebut dikenali dari segi syara‘ dan pada kebiasaan sebagai menahan harta.

    2. Lafaz waqaf Kinayah (kiasan) iaitu lafaz yang boleh membawa pada pengertian yang banyak dan tidak jelas sebagai lafaz untuk berwaqaf. Contohnya seseorang melafazkan: “Aku bersedekah”.

    Maka waqaf dengan hanya berlafaz sedemikian adalah tidak sah sekalipun dia berniat waqaf kerana apa yang dilafazkannya itu (lafaz sedekah) boleh saja membawa maksud berwaqaf atau boleh saja membawa maksud sedekah sunat.

    Jika lafaz tersebut digandingkan dengan lafaz lain yang menunjukkan kepada perbuatan waqaf, contohnya seseorang melafazkan: “Aku bersedekah dengan barang ini sedekah waqaf” atau “Aku bersedekah dengan sedekah yang tidak boleh dijual atau tidak boleh dihibahkan” dan pewaqaf juga berniat waqaf, maka yang demikian itu diiktibar sabagai waqaf. Menurut pendapat ashah dalam mazhab Syafi‘i, bahawa lafaz sedekah (kinayah) yang dilafazkan dengan lafaz gandingan itu dianggap sebagai lafaz waqaf yang jelas disebabkan adanya lafaz lainnya.

    ADAKAH MEMADAI WAQAF HANYA DENGAN NIAT SAHAJA?

    Waqaf tidak memadai hanya dengan niat atau hasrat seseorang itu untuk menjadikan barang tersebut sebagai waqaf. Waqaf perlu kepada shighah (lafaz yang membawa maksud berwaqaf) bagi menjadikan sesuatu barang itu sah dan sabit menjadi barang waqaf.

    Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya Minhaj ath-Thalibin menyebutkan:

    Dan tidak sah (waqaf) kecuali dengan lafaz (yang memberi maksud untuk berwaqaf), dan (lafaz) yang sharihnya (terang) ialah: “Aku berwaqaf barang ini” atau “tanahku menjadi barang waqaf untuknya.”

    Seseorang yang berniat atau berhasrat untuk mewaqafkan sesuatu yang dimilikinya hendaklah melafazkan niatnya bahawa barang tersebut adalah untuk waqaf bagi tujuan untuk melepaskan hak miliknya terhadap harta tersebut dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda