Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Dalam usahanya untuk menjelaskan mengenai profesion undang-undang, Jabatan Peguam Negara telah mengadakan taklimat bertajuk ‘Kerjaya dalam Undang-undang’ kepada para pelajar di Sekolah Menengah Rimba, baru-baru ini.
Taklimat anjuran bersama Pejabat Peguam Negara dan Sekolah Menengah Rimba yang dihadiri oleh lebih 100 pelajar Tahun 11 itu adalah bagi memberi gambaran keseluruhan tentang peranan dan tanggungjawab para peguam di Pejabat Peguam Negara.
Hadir menyampaikan taklimat ialah Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman dari Bahagian Keadilan Jenayah; Awang Mohd Arif bin Haji Kamis dan Hilarie Shim Yi Yyn dari Bahagian Penyelidikan dan Perundangan yang menjelaskan mengenai terdapat beberapa jurusan pendidikan untuk menjadi seorang peguam berkelayakan di negara ini.
Dalam taklimat berkenaan, mereka juga menyentuh mengenai perjalanan peribadi mereka sendiri dalam mengejar kerjaya dalam bidang undang-undang dengan belajar di luar negara di United Kingdom dan di Malaysia hinggalah mengikuti pengajian di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Selesai taklimat, para pelajar juga diberikan peluang untuk bertanyakan soalan kepada para peguam dalam sesi soal jawab.
