Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memahami rencah kehidupan surirumah

    MENAMPILKAN konsep sitkom komedi, American Housewife merupakan sebuah siri drama yang skripnya ditulis oleh Sarah Dunn dan dihasilkan bersama oleh Aaron Kaplan, Kenny Schwartz, Rick Wiener dan Ruben Fleischer serta diterbitkan oleh ABC Studio.

    Musim pertama siri drama sitkom yang dibintangi oleh Katy Mixon, Ali Wong, Carley Hughes, Diedrich Bader, Meg Donnelly, Daniel DiMaggio dan ramai lagi ini telah berjaya meraih perhatian dan sambutan positif daripada para peminat di mana sekaligus membuatkan pihak produksi untuk terus mengekalkan pelakon tersebut di dalam musim kedua.

    Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai rencah kehidupan seharian Katie Otto yang merupakan seorang surirumah dan ibu yang berusaha untuk terus menonjol di sebuah kawasan kejiranan yang didominasi oleh golongan individu yang kaya, angkuh dan hidup serba mewah setelah berpindah ke kawasan perumahan baru di Westport, Connecticut.

    Dia menetap bersama dengan Greg, suaminya yang bekerja sebagai seorang profesor di sebuah universiti dan bersama dengan tiga orang anaknya iaitu Taylor, Oliver dan Anna-Kat.

    Di samping itu, Katie juga kerap meluangkan masanya dengan dua orang sahabat baiknya iaitu Doris yang merupakan seorang ibu yang mengamalkan sikap tegas dalam mendidik anaknya dan Angela,seorang ibu yang memiliki pandangan yang cukup terbuka dalam mendidik anaknya.

    Katy Mixon kembali melakonkan watak surirumah bernama Katie Otto yang perlu melaksanakan tugasnya termasuk mendidik anak-anaknya dalam American Housewife musim terbaru.

    Sebagaimana yang ditampilkan dalam musim terdahulu, para ibu ini berhadapan dengan pelbagai isu yang sering ditangani oleh kebanyakan surirumah dan ibu di seluruh dunia termasuk dari soal menyediakan kelengkapan suami, mendidik anak dan juga hal-hal pengurusan di dalam rumah.

    Selain sibuk melakukan tugasan tersebut, para surirumah ini juga tidak terlepas dari berhadapan dengan cabaran untuk menyelesaikan isu peribadi dan juga persekitaran mereka.

    Dalam musim terbaru ini, aspek yang ditonjolkan adalah penerimaan Doris yang berasa begitu terkejut tatkala mengetahui bahawa dirinya mengandungkan anak yang keempat.

    Di samping itu, George Hamilton juga merupakan antara bintang baru yang ditonjolkan dalam musim terbaru siri ini di mana beliau melakonkan watak jiran tetangga yang kaya dan baru berpindah ke kawasan Westport.

    Lalu untuk mengetahui kesudahan kisah dalam siri drama ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama ini sehingga ke penghujungnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda