(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 1
AMALAN atau sikap memilih makanan yang halal lagi baik (bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan) merupakan suruhan agama. Ia bukanlah tertakluk pada kemahuan atau kehendak individu itu sendiri ataupun sebagai satu pilihan atau kecenderungan sahaja. Perintah ini telah ditegaskan dalam beberapa firman Allah Ta‘ala, antaranya yang tafsirnya, “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168)
Apabila menyentuh mengenai aspek makanan yang menyihatkan dan menyelerakan; di samping sayuran dan buah-buahan, pasti ramai yang akan memilih atau menyebut ikan sebagai menu yang berzat dan berkhasiat. Malah tidak dapat dinafikan bahawa ikan, juga dalam bahasa Brunei lauk, merupakan antara makanan kegemaran masyarakat Brunei.
Cara untuk menyajikannya juga berbagai-bagai; rebus, kukus, goreng, bakar, diperap seperti dimasinkan atau diasamkan dan seumpamanya. Manakala cara membersihkan ikan dan menyediakannya sebelum dimasak atau dimakan juga diketahui. Memang sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Brunei membersihkan terlebih dahulu ikan tersebut dan mengasingkan dan membuang isi perutnya, sekalipun ikan yang kecil seperti ikan pusu.
Perkara ini sudah menjadi amalan biasa kerana cara sedemikian merupakan antara aspek dan langkah penjagaan kebersihan serta kualiti makanan tersebut. Namun apakah sebenarnya hukum memakan ikan bersama-sama isi perutnya menurut pandangan Islam?
Penjelasan syara‘ mengenai haiwan laut
Dalam Al-Qur’an telah disebutkan bahawa haiwan atau binatang laut itu adalah halal melalui firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan yang didapati dari laut.” (Surah al-Ma’idah: 96)
Perkataan ‘laut’ dalam ayat di atas termasuklah juga sungai dan seumpamanya. Manakala maksud ‘buruan laut’ pula ialah haiwan laut yang diburu, ditangkap atau diperolehi dengan menggunakan apa saja cara ketika binatang tersebut dalam keadaan masih hidup. Adapun maksud ‘makanan yang didapati dari laut’ ialah kehidupan laut yang terapung, yang dikeluarkan oleh laut atau yang terdampar ketika air laut (atau sungai) surut atau kering tanpa perlu ada usaha untuk memperolehinya.
Hukum memakan bangkai ikan
Antara dalil dari hadits yang menjelaskan perkara ini ialah hadits tentang air laut dan bangkainya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Air laut itu suci lagi menyucikan, (manakala) bangkainya (binatang laut) adalah halal.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis di atas dapat difahami bahawa bangkai ikan adalah termasuk di antara benda yang dihalalkan oleh syara‘. Inilah hukum yang disepakati oleh para ulama, sebagaimana mereka bersepakat bahawa bangkai ikan adalah suci (bukan najis).
Adapun ikan, ia merupakan salah satu spesies haiwan atau binatang laut. Dari segi syara‘ hukumnya adalah halal bagaimana sekalipun cara matinya (tanpa perlu disembelih); samada ia mati tanpa sebab ataupun mati kerana sebab yang nyata, dan samada kita mendapatinya mati dalam keadaan tenggelam (atau terdampar) ataupun timbul (terapung) di permukaan air.
Yang dimaksudkan dengan ‘mati kerana sebab yang nyata’ ialah seperti mati kerana diburu atau ditangkap, dipotong kepala, terhempas batu, ditusuk dengan alat memburu ataupun lemas kerana ketiadaan air.
Bangkai ikan yang terapung atau terdampar
Berdasarkan kepada ayat 96 dari Surah al-Ma’idah yang telah disebutkan terdahulu, menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah hukum memakan ikan yang telah timbul (terapung) di permukaan laut atau seumpamanya adalah halal.
Tambahan dari itu, terdapat satu riwayat bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam memakan daging sejenis ikan besar (‘anbar) yang telah mati dan terdampar di pantai. Riwayat ini menunjukkan hukum yang sama, iaitu halal memakan ikan yang sudah mati samada ia terdampar di daratan (pantai atau tebing) atau terapung di permukaan air.
Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah mengutus mereka sebagai satu pasukan tentera yang dipimpin oleh Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah Radhiallahu ‘anhu. Dalam perjalanan tersebut mereka menghadapi masalah kekurangan makanan. Suatu ketika apabila mereka menuju ke tepi laut, mereka telah mendapati seekor ikan besar (‘anbar) terdampar di pantai.
Pada awalnya Abu ‘Ubaidah mengatakan bahawa ikan tersebut sudah menjadi bangkai, maka ia tidak halal untuk dimakan. Namun kemudian dia menegaskan bahawa mereka adalah utusan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang berada pada jalan Allah (jihad fi sabilillah) dan mereka benar-benar menghadapi kehabisan bekalan makanan.
Oleh kerana terpaksa (dalam keadaan darurat), maka dia mengarahkan juga tentera seramai 300 orang itu memakan daging ikan tersebut sekadarnya sehinggalah mereka boleh bertahan dan menetap di tempat itu selama sebulan lamanya lagi. Tatkala meninggalkan tempat tersebut, mereka masih boleh membawa beberapa potong dagingnya untuk dibawa pulang. Sesampai mereka di Madinah, mereka menemui Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dan menceritakan pengalaman tersebut kepada Baginda.
Mendengar kisah tersebut, Baginda lalu bersabda yang maksudnya, “Itu (ikan) adalah rezeki (Allah) yang diberikan Allah kepada kamu. Apakah kamu masih menyimpan sesuatu dari dagingnya agar kamu boleh memberinya kepada kami untuk kami memakannya? (Jabir) berkata: “Kami lalu mengirimkan daging ikan tersebut kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dan Baginda pun memakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Merasa syak atau ragu
Walaupun secara umumnya bangkai ikan adalah suci (tidak najis) dan halal dimakan, namun jika seseorang itu merasa syak atau ragu; seperti mendapati ikan yang timbul atau terapung di permukaan air itu keadaannya sudah kembung dan ditakuti pula akan mendatangkan penyakit atau mudarat, maka dalam keadaan ini menurut pendapat beberapa ulama adalah haram memakannya, sekalipun hukum ikan dalam keadaan sedemikian tetap suci (tidak najis).
Apa yang lebih nyata lagi, jika ikan tersebut adalah dari jenis yang diketahui mempunyai racun, maka tidak halal memakannya.
Bagaimana dengan isi perut ikan?
Ikan, sepertimana jua dengan haiwan yang lainnya, memiliki rongga perut dan padanya juga terkandung kotoran dan najis. Menurut ulama, sesuatu yang keluar (berasal) dari rongga perut haiwan, tidak terkecuali ikan, merupakan najis. Maka dalam perkara ini, tahi ikan juga dihukumkan sebagai najis.
Jadi apakah memakan ikan yang telah dimasak atau dibakar sekaligus dengan isi perutnya itu halal atau sebaliknya? Bagaimana pula dengan ikan yang dimasinkan atau diasamkan dan diperam sekaligus dengan isi perutnya? Berikut disebutkan beberapa pendapat ulama mengenainya:
1. Halal memakan ikan yang kecil yang digoreng atau dibakar (sekaligus dengan isi perutnya), iaitu tanpa dibersihkan atau dibuang terlebih dahulu kandungan isi perutnya. Kandungan (kotoran) dalam isi perut ikan kecil tersebut adalah dimaafkan. Ini merupakan pendapat beberapa ulama antaranya Imam an-Nawawi, al-Khatib asy-Syarbini dan Imam ar-Ramli Rahimahumullah.
Imam Ibnu Hajar Rahimahullah juga berpendapat bahawa tidak wajib membersihkan atau membuang kandungan (kotoran) dalam perut ikan kecil kerana kesukaran.
Imam asy-Syabramallisi Rahimahullah pula menjelaskan, ikan besar yang dibakar atau digoreng (sekaligus dengan isi perutnya) hukumnya adalah haram, kerana menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah yang dihalalkan itu hanyalah pada ikan yang kecil sahaja. Ini bermakna haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya, kerana tiada kesukaran untuk membersihkan isi perutnya dari najis (kotoran), berbeza dengan ikan yang kecil. Najis dalam perut ikan yang besar adalah tidak dimaafkan.
2. Adapun ikan yang diperam seperti ikan masin atau pekasam dan seumpamanya, menurut pendapat al-Imam ar-Rafi‘e dan an-Nawawi Rahimahumallah bahawa hukumnya adalah harus memakan ikan masin berukuran kecil (yang diperap) sekaligus dengan isi perutnya kerana kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada dalam isi perut ikan kecil.
Adapun ikan masin yang berukuran besar yang diperam dengan isi perutnya, maka ikan masin yang sedemikian adalah najis.
Bersambung minggu depan