Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memancing: Hobi, gaya hidup atau terapi jiwa?

    Oleh Raz AS – 

    Memancing atau lebih dikenali sebagai mengail dalam kalangan rakyat Brunei bukanlah sesuatu yang asing. Sejarah negara yang mana sejarah penempatan dan pusat pentadbirannya berasal dari perkampungan yang dibangunkan di atas air, aktiviti menangkap ikan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Namun kini memancing bukan sekadar untuk menangkap ikan, tetapi sebagai satu bentuk rekreasi yang merentasi pelbagai lapisan umur dan latar belakang.

    Namun begitu, persoalan yang sering timbul dengan melihat ‘ketegaran’ pemancing yang begitu kuat, adakah memancing ini sekadar hobi semata-mata? Atau sudah menjadi satu gaya hidup? Malah, ada juga yang menganggapnya sebagai bentuk terapi jiwa yang paling ampuh dalam dunia serba pantas hari ini.

    Bagi kebanyakan orang, berkecimpung dalam arena hobi memancing bermula dengan rasa ingin tahu. Mungkin ikut ayah ke sungai atau laut ketika kecil atau terpengaruh dengan rakan-rakan yang bercerita tentang ‘tarikan kasar’ ikan bersaiz gergasi yang mereka tumbangkan. Tidak lama kemudian, rasa minat itu berkembang menjadi hobi yang sentiasa dinantikan setiap minggu.

    Hobi memancing tidak memerlukan pelaburan besar pada peringkat awal. Sebatang joran murah, seutas tali pancing dan sedikit umpan sudah cukup untuk memulakan langkah pertama. Namun, seperti hobi lain, lama-kelamaan kaki pancing akan mula melabur lebih, membeli peralatan yang lebih baik, menambah ilmu melalui bacaan, video, atau menyertai komuniti pancing.

    Keunikan hobi memancing ialah ia fleksibel. Awda boleh memilih untuk memancing di kolam, tali air, parit, sungai, tasik atau laut lepas. Setiap lokasi menawarkan pengalaman yang berbeza dan di situlah terletaknya keindahan hobi ini ia tidak pernah membosankan.

    Aktiviti memancing memberi ruang untuk kita ‘melambatkan masa’, sesuatu yang amat jarang dapat kita lakukan dalam kehidupan harian. – Agensi

    Bagi sesetengah individu, memancing bukan lagi sekadar hobi. Ia sudah menjadi gaya hidup. Mereka merancang jadual kerja dan hujung minggu berdasarkan jadual pasang surut. Mereka bangun awal pagi demi mengejar masa ikan mula galak mencari makan.

    Mereka menyimpan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk membeli peralatan-peralatan baharu meski sebenarnya semuanya sudah cukup.

    Golongan ini juga tidak segan untuk berkongsi pengalaman di media sosial, berkongsi gambar hasil tangkapan, tip memancing atau lokasi terbaik. Mereka bukan sahaja memancing, tetapi hidup dengan semangat memancing dalam setiap aspek kehidupan.

    Lebih menarik, ramai dalam kalangan mereka juga menjadikannya sebagai perniagaan sampingan sama ada menjual umpan hidup, menjual joran atau peralatan custom-made atau menjadi pemandu trip memancing. Ini jelas menunjukkan bagaimana hobi boleh berkembang menjadi gaya hidup yang produktif, memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga komuniti sekeliling.

    Mungkin sisi memancing yang paling tidak diduga ia menjadi satu bentuk terapi jiwa yang sangat berkesan, terutama dalam dunia moden yang serba sibuk dan penuh tekanan.

    Bayangkan awda berada di tepi sungai, hanya ditemani bunyi air mengalir dan kicauan burung. Tiada bunyi hon kereta, tiada mesyuarat, tiada tekanan tarikh akhir kerja. Hanya awda, alam dan joran di tangan.

    Aktiviti memancing memberi ruang untuk kita ‘melambatkan masa’, sesuatu yang amat jarang dapat kita lakukan dalam kehidupan harian. Ia memberi peluang untuk merenung, berfikir atau sekadar melepaskan beban fikiran yang tidak terluah. Dalam situasi begini, joran bukan sekadar alat untuk menangkap ikan tetapi saluran untuk merawat minda dan hati yang lelah.

    Ramai yang mengakui bahawa saat mereka paling tenang ialah ketika menunggu ikan menyambar. Proses menunggu ini sendiri mengajar erti kesabaran, keikhlasan dan penghargaan terhadap proses, bukan semata-mata hasil. Ini sejajar dengan konsep mindfulness yang kini semakin popular dalam terapi moden, berada dalam momen, menghargai kehadiran sekarang.

    Satu kelebihan dunia pancing ialah kewujudan komuniti yang kuat dan mesra. Sama ada di forum dalam talian, grup Facebook atau di tepi kolam, pemancing mempunyai semangat kekitaan yang tinggi. Tidak kira latar belakang bangsa, agama atau umur, joran dan minat yang sama menyatukan mereka.

    Di sinilah terjalin pelbagai bentuk persahabatan dan jaringan sosial. Ada yang hanya kenal dari grup WhatsApp, tetapi menjadi sahabat karib selepas beberapa trip bersama.

    Ada yang membantu sesama pemancing tanpa mengharapkan balasan berkongsi umpan, menolong lepaskan kail dari ranting atau menghulur makanan ketika lapar. Nilai kemanusiaan ini menjadikan dunia pancing lebih indah.

    Walaupun memancing ialah aktiviti tradisional, ia tidak terkecuali daripada gelombang digital. Hari ini, ramai kaki pancing aktif di YouTube, TikTok dan Instagram. Berkongsi video unboxing peralatan, review joran, teknik mengikat atau bermain lure dan vlog trip pancing.

    Ia membuka peluang kepada ramai untuk menjadikan hobi ini sebagai satu bentuk pendapatan kreatif, malah ada yang menjadikan saluran memancing sebagai sumber pendapatan utama. Ini membuktikan bahawa memancing sentiasa berkembang mengikut zaman dan boleh diangkat ke tahap profesional jika disertai dengan komitmen dan kreativiti.

    Jadi, adakah memancing sekadar hobi? Atau gaya hidup? Atau terapi jiwa?

    Hakikatnya, semua jawapan itu betul, bergantung kepada siapa yang ditanya. Bagi sesetengah orang, ia sekadar aktiviti hujung minggu. Bagi yang lain, ia adalah hidup mereka dan bagi ramai pula, ia adalah cara mereka menjaga kewarasan diri dalam dunia yang penuh cabaran.

    Apa yang pasti, memancing bukan lagi sekadar menangkap ikan. Ia menangkap hati, mengikat jiwa, dan mencipta kenangan. Sama ada awda memancing untuk hasil, untuk rehat, atau sebagainya, dunia pancing sentiasa terbuka luas untuk awda teroka, fahami dan cintai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda