Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mac – Statistik kemalangan dan kehilangan nyawa telah menurun dari tahun ke tahun, kecuali ada blip pada tahun lepas, namun usaha berterusan telah
dijalankan dengan menumpukan kepada menguatkuasakan atau memberi keutamaan kepada penguatkuasaan khususnya masalah memandu laju.
Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aluddin pada Permesyuaratan MMN hari ke-16, di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya menjelaskan bahawa kebanyakan insiden kemalangan yang berlaku dan punca utama adalah memandu dengan laju selain daripada menggunakan telefon bimbit.
“Cuma jarang terbukti bahawa seseorang itu menggunakan telefon bimbit kecuali selepas berlakunya insiden,” tambahnya.
Katanya lagi, “Pihak polis akan meneliti sama ada telefon bimbit telah digunakan sebelum kejadian kemalangan.”
Selain itu, kementerian juga akan meneliti kualiti sekolah memandu yang ingin menerapkan budaya cara memandu lama yang akan dijadikan satu keutamaan pada tahun ini selain silibus-silibus yang diterapkan di dalam sekolah memandu.