MUTALE – Dari sebelum Subuh lagi, seorang nenek yang berusia 54 tahun, Annah Muvhali kelihatan sedang mengelilingi pokok baobab yang tumbuh di perkarangan rumahnya di kawasan pedalaman Afrika Selatan bagi mengumpul dan memetik buah pokok baobab yang semakin terkenal di seluruh dunia dan dipanggil sebagai ‘Superfood’.
Dianggarkan kira-kira 1,000 kaum wanita di Kampung Muswodi Dipeni yang terletak di wilayah utara Limpopo, menyara kehidupan mereka dengan menuai buah pokok baobab yang berkulit keras dan berbulu.
Biji-bijian dan serbuk kapur yang terdapat di dalam buah tersebut menjadi kegilaan orang ramai di seluruh dunia disebabkan manfaatnya dari segi kesihatan.
Buah ini mengandungi pelbagai jenis vitamin dan kini telah digunakan untuk kepelbagaian produk iaitu dari soda berperisa, aiskrim, coklat dan juga tidak ketinggalan bahan kosmetik.
“Sebelum ini, saya tidak tahu bahawa buah baobab mengandungi khasiat dan nilai yang tinggi khususnya bagi kesihatan. Saya dan keluarga sering memakan buah ini kerana ia boleh dijadikan sebagai bubur seperti Yogurt yang sangat berkhasiat dan sedap,” kata Muvhali kepada AFP. “Saya selalu memasak buah tersebut untuk cucu saya apabila mereka mengadu sakit perut,” tambahnya.
Dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘penjaga pokok baobab’, kaum wanita seperti Muvali turut menanam dan menjaga anak pokok baobab di kebun-kebun mereka serta memperoleh pendapatan yang baik dari hasil pembesaran pokok tersebut.
Bermula pada tahun 2006, nenek yang mempunyai lima orang anak itu telah dapat membina sebuah rumah untuk dua orang anaknya dan cucunya setelah memperoleh pendapatan yang baik dengan menjual buah serta menjaga pokok baobab itu.
Elisa Phaswana yang berusia 59 tahun telah menjaga anak pokok sapling berukuran satu meter tinggi dan mendirikan pagar dawai bagi mengelakkan gangguan dari kambing-kambing peliharaannya dalam masa dua tahun yang lalu. Dia berkata bahawa program untuk menjaga pokok baobab berjaya membantu mengurangkan isu kemiskinan dalam masyarakat mereka.
“Ia turut membantu menjaga alam sekitar dan membantu kami untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa bagi menyara keluarga dan anak-anak kami. Saya memperoleh kira-kira R320 (AS$21) setiap per sentimeter peningkatan pokok itu,” kata Elisa kepada media.
Permintaan yang tinggi
Pakar ekologi yang mengendalikan Syarikat Produk Eko, Sarah Venter berkata bahawa skim program itu memberikan ganjaran kepada kaum wanita yang berkemahiran dan berpengalaman dalam menjaga pokok besar itu.
“Mereka akan mendapat bayaran sehingga pokok itu mencapai ketinggian tiga meter dan selepas itu akan terus hidup selama 1,000 tahun yang akan datang,” kata Venter kepada media.
“Pokok ini memberikan nilai yang hebat khususnya buat penduduk tempatan dan memperoleh pendapatan yang baik untuk keluarga mereka,” kata Venter.
“Jika kita bernasib baik dan syarikat terus berkembang maju di mana permintaan yang sentiasa tinggi, harga pasti akan naik, justeru ia telah memberikan dorongan dan semangat kepada komuniti ini untuk terus mengumpul lebih banyak buah baobab dan menanamnya,” tambahnya.
Venter turut menambah bahawa permintaan terhadap serbuk baobab semakin meningkat setiap tahun sejak tahun 2013 lagi. Benua Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, merupakan antara negara yang terbesar dalam mengimport produk dari pokok baobab itu. Persekutuan Pokok Baobab Afrika menganggarkan eksport serbuk baobab meningkat kepada 450 tan pada tahun 2017.
Syarikat Makanan Baobab, pengedar dan pembekal utama produk dari pokok baobab telah menyaksikan satu peningkatan khususnya dalam produk-produk baobab sejak kebelakangan ini. “Pada tahun 2018 ini, kami telah menggandakan lagi produk import kami hanya untuk ke AS sahaja,” kata perwakilan syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pokok ini mengambil masa selama 200 tahun untuk menghasilkan buahnya dan jika ia disiram setiap hari, tempoh itu akan berkurangan kepada 30 tahun. Apa yang pasti, pokok ini hanya akan mengeluarkan buahnya setahun sekali selama hampir 200 tahun.
Perubatan tradisional
Menurut sejarah dan mitos khususnya dalam sastera rakyat Afrika, pokok baobab dikenali sebagai pokok ‘terbalik’, disebabkan oleh cabang ranting kayunya yang kelihatan seperti akar. Buahnya pula kelihatan seperti goji, buah acai, buah delima, tembikai wangi dan pokok ini digambarkan sebagai ‘superfood’ oleh sesetengah pakar pemakanan disebabkan oleh tahap antioksidan, serat, vitamin dan juga kandungan mineral yang tinggi.
“Baobab merupakan salah satu tumbuhan yang mengandungi sumber vitamin C yang paling banyak. Selain itu, ia juga mempunyai kandungan antioksidan semula jadi, vitamin E dan banyak lagi serta ia juga mengandungi khasiat untuk anti-radang dan sebagainya,” kata Jean Francois Sobiecki, pakar pemakanan dan ahli etnobotani di Universiti Johannesburg.
“Pokok ini turut mengandungi kombinasi vitamin semula jadi, antioksidan, protein dan bahan penyembuhan yang sangat baik, sekali gus menjadikan ia sebagai ‘superfood’ yang luar biasa dan menakjubkan,” tambahnya. – AFP