Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan –
Siri Kedua
Kulit binatang korban wajib
Orang yang berkorban wajib, sama ada binatang yang hendak dijadikan korban itu sudah ditentukan (ta‘yin) atau kerana nazar, tidak harus baginya memanfaatkan sesuatu daripada binatang korban wajib itu apatah lagi untuk menjual, menyewakan dan menjadikan kulit binatang korban wajib sebagai upah kepada penyembelih.
Oleh yang demikian, adalah wajib disedekahkan kulit binatang tersebut kepada fakir miskin sepertimana wajib disedekahkan kesemua daging binatang korban wajib kepada fakir miskin.
Memanfaatkan bulu binatang korban
Bulu binatang korban wajib tidak boleh digunting, sekiranya dengan membiarkan bulu pada binatang tersebut sehingga tiba waktu penyembelihan tidak memudaratkannya dan membawa maslahat pada binatang itu sendiri, iaitu memeliharanya daripada kepanasan atau kesejukan dan seumpamanya.
Selain itu antara tujuan membiarkan bulu pada binatang tersebut ialah memberikan manfaat pada binatang tersebut untuk menolak kesakitan (kemudaratan) dan untuk golongan fakir miskin memanfaatkannya apabila disembelih dan disedekahkan kepada mereka.
Akan tetapi, jika terdapat maslahat menggunting bulu binatang itu ataupun jika dibiarkan bulu itu tanpa digunting sehingga tiba waktu penyembelihannya akan memudaratkannya, maka harus menggunting bulu binatang korban. Perkara ini diharuskan disebabkan darurat.
Dalam perkara ini, orang yang berkorban sunat harus memanfaatkan bulu binatang korbannya sepertimana hukum memanfaatkan kulitnya. Bagaimanapun menyedekahkannya kepada golongan miskin adalah afdhal.
Sebagai kesimpulan, orang yang berkorban sunat harus memanfaatkan kulit binatang korbannya dengan apa jua cara melainkan menjualnya, menyewakannya dengan mengambil bayaran, menjadikannya sebagai upah kepada penyembelih di atas kerja-kerja penyembelihan dan seumpamanya.
Perbuatan demikian hukumnya adalah haram. Bagaimanapun yang afdhal ialah menyedekahkan kulit binatang korban kepada golongan fakir miskin kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sekiranya kulit tersebut diberi sebagai hadiah kepada golongan orang mampu, perlu diingat bahawa mereka ini akan tetap terikat dengan hukum-hakam binatang korban dan larangannya sepertimana yang dilarang ke atas orang yang berkorban sendiri.
