Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Dalam usaha untuk membantu murid-murid memanfaatkan penggunaan dwibahasa pembelajaran, Sekolah Fairview baru-baru ini telah mengadakan Sambutan Hari Dwibahasa yang diadakan di sekolah berkenaan di Berakas, di sini.
Sambutan yang bertemakan ‘Bahasa Menyatukan Bangsa’ itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan diteruskan dengan bacaan doa daripada Awang Norazmi bin Haji Ahad dan ucapan aluan-aluan daripada Ketua Bahasa Melayu Sekolah Fairview, Dayang Safrinah binti Haji Samat.
Majlis juga turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian daripada murid-murid Tahun 3 yang juga menyampaikan persembahan koir dan sajak.
Selain itu Pertandingan Mari Bercerita turut diadakan bagi kalangan murid rendah bawah dan Pertandingan Puisi bagi murid rendah atas sebelum Peraduan Mengeja diadakan yang dibukakan kepada semua murid sekolah berkenaan.