“Tidak mungkin kami tidak menyedari kesilapan itu. Jika diperhatikan dengan teliti klip rakaman babak yang tular itu, ia seperti silap mata. Sekejap Sharnaaz memakai cermin mata, sekejap tidak. Apa yang kami lakukan itu hanya gimik. Pelik juga apabila ia baru disedari warganet, sedangkan babak itu disiarkan pada episod 12. Rakaman itu pula hanya tular selepas episod akhir, Isnin lalu,” kata pengarah drama, Lelakimu Yang Dulu, Eoon Shuhaini.
Mengulas kecaman penonton terhadap babak drama lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose itu, Eoon berkata, dia sengaja berbuat demikian untuk melihat reaksi orang ramai.
“Saya mahu menguji minda penonton, sama ada mereka prihatin dengan babak yang dipaparkan atau sebaliknya. Ternyata, mereka hanya menyedari perkara itu pada penghujung episod. Memang kami merakamkan dua sudut berbeza untuk babak itu. Satu babak memperlihatkan Sharnaaz bercermin mata, manakala satu lagi tanpa aksesori itu. Saya tahu, ramai yang mengecam, malah sebahagian penggiat seni menyalahkan penyunting dan bahagian konti, kononnya tidak peka hingga melakukan kesilapan yang jelas. Tidak mungkin kami tidak menyedari kecacatan itu,” katanya.
Pengarah drama Love You Mr Arrogant dan Pujaan Hati Kanda itu mengakui, berdepan kekangan masa ketika menyiapkan drama 28 episod terbitan Mache All Star United Sdn Bhd itu. – Agensi
