Oleh Nurdiyanah R. –
Seiring berjalannya waktu merentas cabaran arus globalisasi, tahun ini genaplah sudah 40 tahun Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan yang pastinya satu anugerah dan rahmat Allah SWT kepada rakyat dan penduduk negara yang wajib disyukuri sebagai tanda kecintaan kita pada agama, bangsa dan negara.
Sejajar dengan tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini, Bersatu Mencapai Cita Negara, pastinya jelas membuktikan negara terus proaktif berusaha dengan penuh dedikasi dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk menjadi sebuah negara yang maju dengan mencapai matlamat-matlamat utamanya iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi; berkemahiran dan berjaya; rakyat mempunyai kualiti kehidupan tinggi; dan ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sebagai agensi-agensi peneraju dalam membangun serta membentuk sumber tenaga manusia terus mendukung hasrat untuk merealisasikan wawasan 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta berakhlak mulia, seiring dengan sektor pembangunan dan ekonomi negara.
Sistem pendidikan mantap dan komprehensif seiring dengan perkembangan masa merupakan aset penting bagi membangunkan masyarakat dan negara.
Dalam erti kata lain, ia bagaikan salah satu nadi bagi melakar perkembangan positif dalam pelbagai aspek untuk kepentingan tanah air.
Menerusi pendidikan sesebuah bangsa itu akan mendapat ilmu dan dengan ilmu ia dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. Tanpa ilmu kehidupan masyarakat itu umpama berada dalam kegelapan.
PINDAAN AKTA PENDIDIKAN WAJIB
Salah satu usaha penegasan proaktif berterusan bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa atau penjaga untuk memastikan anak-anak mereka menghadiri sesi persekolahan agar tidak tercicir dalam pembelajaran atau mendapat pendidikan, pindaan Akta Pendidikan Wajib Penggal 211 yang berkaitan dengan umur wajib kanak-kanak bersekolah daripada enam tahun kepada lima tahun telah berkuat kuasa pada Januari 2024.
Pindaan itu adalah pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-33 yang lalu.
Pindaan berkenaan mewajibkan kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun untuk bersekolah khususnya mereka yang terdiri daripada warga Negara Brunei Darussalam dan yang bermastautin di negara ini. Bagi kanak-kanak yang mencapai umur lima tahun pada 31 Disember diwajibkan mendaftar bagi kemasukan prasekolah bermula awal tahun berikutnya.
PERINTAH PENDIDIKAN UGAMA WAJIB
Ke arah usaha murni untuk bumi Darussalam sebagai sebuah negara Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur dan berpaksikan kepada ajaran agama Islam yang suci, salah satu yang terus ditekankan ialah Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2013. Ia mewajibkan bagi setiap kanak-kanak Islam yang berumur tujuh tahun ke atas dan sehingga umur 15 tahun yang tinggal di negara ini untuk didaftarkan dalam pendidikan agama prasekolah dan sekolah rendah.
Perintah tersebut antara lain juga menggariskan tanggungjawab wajib ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka di sekolah agama pada 1 Januari penggal persekolahan bagi memastikan bahawa anak-anak mereka didaftarkan di sebuah sekolah agama dalam tahun itu sekali gus terus menjadi seorang pelajar sepanjang tempoh pendidikan agama wajib.
Sementara itu, ibu bapa yang gagal melaksanakannya akan dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) dan jika didapati bersalah akan menghadapi denda tidak lebih daripada $5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Perintah ini adalah satu kejayaan bagi Baginda Sultan melalui KHEU dan institusi pendidikan Islam dalam merealisasikan pendidikan agama di negara ini.
Malah bukan itu sahaja, pelaksanaan perintah ini menepati hasrat negara untuk menerapkan dasar pendidikan akademik yang diimbangi dan diperkukuhkan dengan mewajibkan setiap murid dan pelajar yang beragama Islam bagi mengikuti pendidikan sekolah agama di samping sekolah biasa.
Baginda Sultan pernah berkenan bertitah semasa Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara tahun 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 8 Februari lalu, yang antaranya menegaskan pendidikan agama mustahak sentiasa dititikberatkan bukan sahaja di peringkat sekolah rendah malah juga di peringkat yang lebih tinggi.
Penekanan secara amali atau praktikal ilmu agama seperti cara berwuduk, perbuatan dan bacaan dalam sembahyang, masih sahaja perlu terus diperkasa kerana ibadah sembahyang mempunyai rukun-rukunnya yang perlu dipelajari dan dihalusi, selaku ibadat utama.
Baginda turut bertitah hebatnya kedudukan sembahyang itu sehingga diumpamakan sebagai tiang agama. Sembahyang merupakan ibadah yang paling utama dan yang pertama dihisab di akhirat kelak.
“Dalam hubungan ini, kita boleh melihat bahawa bangunan tidak akan terbina tanpa tiang. Maka demikian itulah juga dengan Islam tidak akan tegak terbina tanpa sembahyang, selaku tiang,” titah Baginda.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu sangat jelas menerangkan dalam meniti dasar pendidikan negara perlulah seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi untuk membentuk anak-anak tempatan mendapat pendidikan yang cemerlang dalam bidang ilmu duniawi selain itu mempunyai jati diri yang diperkukuhkan dengan akidah Islam
dan ketakwaan.
PELAKSANAAN PENGINTEGRASIAN
Dengan tujuan untuk menjaga kese-jahteraan pelajar dengan mengurangkan beban kerja pelajar dan mengurangkan tempoh masa berada di sekolah, yang diharapkan akan meningkatkan lagi keseimbangan hidup dan kesihatan mental para pelajar, KHEU dan Kementerian Pendidikan telah bersatu melaksanakan Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum pada 1 November lalu.
Mata-mata pelajaran yang lazimnya diajarkan di sekolah-sekolah agama telah diserapkan ke dalam kurikulum pendidikan umum di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta termasuk sekolah-sekolah antarabangsa.
Antara tujuan pengintegrasian yang hanya akan melibatkan pelajar-pelajar yang sedang menuntut di peringkat pra sehingga darjah 3 sekolah agama itu juga diharap akan meningkatkan lagi kecekapan pembelajaran, di mana waktu persekolahan yang semakin berkurang akan memberikan ruang kepada guru dan para pelajar untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran lebih berkualiti.
Dalam hal itu, pelajar-pelajar terlibat akan mengikuti pendidikan agama mereka di sekolah rendah masing-masing. Manakala, para pelajar yang menuntut dalam Darjah 4 hingga 6 masih meneruskan pembelajaran di sekolah-sekolah agama seperti lazimnya.
PEMERKASAAN PROGRAM STEAM
Dalam pada itu, pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik
(STEAM) telah dikenal pasti amat penting dalam usaha untuk melahirkan pelajar siaga masa hadapan dalam dunia yang semakin dibentuk oleh kemajuan teknologi dan inovasi yang pesat.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-33 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, pada September lalu antaranya mengongsikan bahawa Kementerian Pendidikan adalah dalam fasa pelaksanaan Pelan Transformasi Digital 2023-2027 yang menggariskan hala tuju kementerian dalam melaksanakan inisiatif digital ke arah pendekatan transformasi dalam penyampaian pendidikan secara lebih berkesan serta meningkatkan mutu perkhidmatan organisasi melalui penggunaan teknologi.
Ini termasuk penyediaan Buku Garis Panduan Pembelajaran Teradun, Sistem Pengurusan Sumber Digital, TV MOE dan Bilik Darjah Pintar. Selain itu, kementerian juga sedang giat melaksanakan pelbagai program pendidikan STEAM seperti STEAM for Future, STEAM Outreach dan lain-lain dalam usaha memperkukuhkan kemahiran STEAM dalam kalangan pelajar.
Beliau turut menekankan peranan guru adalah kritikal dalam transformasi pendidikan dan dalam usaha untuk terus mengekalkan pendidikan yang relevan, pendekatan pedagogi baharu yang berkesan perlu dilengkapkan dalam kalangan guru.
Ke arah itu, Kementerian Pendidikan dan KHEU sentiasa melaksanakan pelbagai program perkembangan profesional sama ada di peringkat sekolah, kluster, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), serantau dan antarabangsa.
Di samping itu, semasa Majlis Konvensyen Mini Pemimpin Sekolah 2023 di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong pada 21 November lalu, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dalam ucapannya antaranya menyatakan pendidikan STEAM memupuk sebuah persekitaran pembelajaran dinamik di mana para pelajar digalakkan untuk berfikir secara kritikal, bekerjasama dengan lancar dan menyelesaikan masalah secara kreatif.
Pembelajaran STEAM berlaku secara semula jadi setiap hari apabila kanak-kanak meneroka, bermain dan mencuba barang baharu. Apabila kanak-kanak diberikan peluang untuk meneroka dunia di sekeliling, mereka akan belajar dan menguji teori serta kemahiran STEAM baharu.
Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati berkata bahawa integrasi aktif STEAM ke dalam kurikulum membolehkan para pelajar untuk membangunkan kemahiran pelbagai rupa bagi merangkul pemikiran di luar kotak serta inovasi yang penting untuk menjadi seorang warga global siaga masa hadapan.
Kementerian Pendidikan sedang giat melaksanakan beberapa inisiatif STEAM melalui jabatan dan seksyen atau unit yang berbeza dalam kementerian dan berkolaborasi dengan agensi-agensi di luar kementerian seperti Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI).
Beliau menerangkan bahawa Jabatan Pembangunan Kurikulum sedang melaksanakan sebuah projek rintis bersama AITI bertajuk Coding with Smart Devices for Government Schools, yang telah berjalan sejak Mei lalu hingga November menerusi pelajaran ICT, matematik dan sains di mana projek itu bermatlamat untuk memupuk kemahiran
abad ke-21 dan STEAM dalam diri pelajar.
Selain itu, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) juga memainkan peranannya dengan terus menyokong sekolah dengan pelbagai program STEAM bagi menanamkan pengetahuan mengenai pentingnya perlindungan alam sekitar, perubahan iklim, pembangunan mampan serta mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan STEAM untuk membolehkan para pelajar menyelesaikan cabaran-cabaran dunia sebenar bagi memperbaiki kualiti kehidupan tanpa merosakkan planet ini untuk masa hadapan.
Di samping itu, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyatakan bahawa Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC) menerusi falsafah pemikiran keusahawanan dan pertumbuhannya akan terus membangunkan pemikiran para pelajar untuk mempragmatiskan konsep-konsep yang dipelajari dalam STEAM ke arah kemahiran kehidupan yang berimpak dan lebih bermakna yang akan menyumbang kepada pembangunan mampan bagi masa depan mereka.
Sehubungan itu, dengan matlamat untuk membarigakan mengenai program-program STEAM yang ditawarkan, Pusat STEP pada 2024 telah mengadakan Sesi Pembarigaan Program-program STEAM Pusat STEP di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, PTE Tutong dan PTE Belait, sekitar penghujung Januari lalu.
Begitu juga usaha bersulam keyakinan ciptaan kreatif dan inovatif berkonsepkan STEAM oleh golongan pelajar dan guru Sekolah Menengah Berakas (SMB) setelah berjaya mengadakan Pameran Pertandingan STEAM SMB: Inspiring the Next Generation sekitar penghujung November lalu.
Acara yang berlangsung di Dewan Anggerek, SMB berkenaan telah menampilkan sebanyak 19 buah pameran berkonsepkan projek STEAM secara keseluruhan seperti Blind Assist Sensory Suit (BASS), Robot Explorers, Projek Bumi, dan sebagainya.
TERUS TANAI TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Oleh yang demikian, kita sebagai anak-anak Brunei sejati yang memiliki MIB sebagai identiti kita, pastinya memiliki tanggungjawab tersendiri dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.
Satu hakikat yang perlu ditanam dalam jati diri setiap insan yang bergelar anak watan bahawa tanggungjawab ke arah mencapai wawasan negara yang kita cintai ini bukanlah hanya terletak kepada pihak kerajaan semata-mata, akan tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak iaitu swasta, pemimpin akar umbi, persatuan-persatuan dan semua individu di negara ini.