Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memantapkan penggunaan bahasa Melayu

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa mengambil inisiatif mengadakan Tamu Bahasa bersempena Bulan Bahasa yang diadakan di Pentas Utama Pesta Buku Brunei 2024, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.

    Tamu Bahasa yang juga dapat disaksikan melalui penstriman langsung di laman Facebook DBP Brunei itu turut menyaksikan sesi pembentangan yang disampaikan oleh mantan pensyarah di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pengiran Dr Haji Mohamed bin Pengiran Damit sebagai pembicara eksekutif, dengan tajuk Penerapan Teori Tatabahasa Generatif dalam Pemerian Sintaksis Bahasa Melayu.

    Beliau antaranya memperjelas dan mengongsikan penerapan teori tatabahasa generatif dalam pemerian sintaksis bahasa Melayu mengkhususkan bagaimana teori diaplikasikan dalam memeri ayat pasif semu bahasa Melayu.

    Inti pati pembentangan itu juga meneliti hubungan antara ayat pasif dengan ayat aktif mengikut analisis nahu transformasi generatif klasik.

    Majlis tersebut dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa, DBP, Dr Hurul’Ain Nukhbah binti Rabaha. Seramai 83 orang peserta hadir ke majlis tersebut terdiri daripada para pegawai DBP, pegawai dan kakitangan di jabatan-jabatan kerajaan, mahasiswa, belia, pencinta bahasa, sastera, budaya, dan juga pelayar Facebook.

    Selain itu, penganjuran Tamu Bahasa juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman semua lapisan masyarakat bahawa bahasa Melayu sebagai identiti bangsa Melayu.

    Antara objektifnya adalah untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak dalam menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, membincangkan isu-isu semasa berkaitan bahasa Melayu dalam memantapkan penggunaan bahasa, istilah baharu dan tulisan Jawi yang menjadi ciri identiti bahasa Melayu.

    Pengiran Dr Haji Mohamed semasa menyampaikan pembentangan sebagai Tamu Bahasa bersempena Bulan Bahasa, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda