Seiring berlalunya waktu, menguasai atau mempelajari bahasa lain menjadi satu kemestian bagi seorang individu sebagai suatu kelebihan diri namun, dalam masa yang sama janganlah kita terus meminggirkan bahasa ibunda begitu sahaja kerana siapa lagi yang perlu mempertahankannya kalau bukan kita sendiri.
“Bahasa melambangkan jati diri bangsa, bahasa juga mampu menyatukan kita. Generasi muda sebagai penerus bangsa perlunya lebih berbangga dengan bahasa sendiri dan terus bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing agar budaya warisan nenek moyang kita tidak terhakis ditelan zaman,” itulah antara luahan harapan tulus dari salah seorang ahli jawatankuasa tadbir, Persatuan Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) Brunei Darussalam, Awang Eyad Samhan bin Nyawa semasa ditemui penulis, baru-baru ini.
Perjuangan di sebalik kamus
Persatuan PSJD Brunei Darussalam ditubuhkan pada tahun 1958 oleh Awang Bernard Sim yang telah meninggal du nia beberapa tahun lalu dan persatuan berkenaan didaftarkan secara rasminya sekitar tahun 1960.
Berkongsi sejenak, selaku bekas Yang Di-Pertua PSJD Brunei Darussalam, sekitar tahun 2012 hingga 2013, Awang Eyad menyatakan puak Dusun di bawah PSJD Brunei Darussalam sememangnya mempunyai sebuah kamus pertama mereka sendiri, sebagai satu rekod warisan bahasa puak Dusun Brunei namun tidak diterbitkan secara rasmi.
Menurut Awang Eyad, kamus berkenaan telah dihasilkan sepenuhnya oleh mendiang Awang Bernard Sim yang berasal dari Kampung Puk Karagam, Bukit Udal, Daerah Tutong.
“Berdasarkan peranan dan tanggungjawab yang ditanai itu, beliau telah berusaha untuk mengumpul dan menyusunkan sendiri kaedah penerbitan kamus Bahasa Dusun Brunei selama 10 tahun sejak 1980 lagi.
Penelitian banyak dilakukan dengan berpandukan contoh-contoh kamus dari pelbagai dialek dan bahasa yang sedia ada pada ketika itu.
“Kamus buat julung kalinya dihasilkan oleh beliau itu pastinya mewujudkan kemudahan dengan adanya pengertian menggunakan dua bahasa yang lain iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris untuk difahami dan dipelajari bersama oleh semua lapisan masyarakat.
“Segalanya dihasilkan sebagai usaha menyelamatkan bahasa ibunda dari ke pupusan. Itulah yang kami harapkan sejak dahulu lagi,” ujarnya dengan penuh ketulusan.
Bahasa Dusun antara dialek tertua
Awang Eyad turut menjelaskan Bahasa Dusun Brunei Darusalam adalah antara dialek yang tertua digunakan di negara ini, yang dituturkan oleh kebanyakan penduduk asli di kawasan Sungai Belait dan juga Sungai Tutong.
Satu-satu kawasan atau kampung itu kebiasaannya memiliki logat atau suku kata yang berlainan sungguhpun ia mempunyai maksud yang sama.
“Walau bagaimanapun perbezaan itu memiliki keistimewaannya yang tersendiri kerana ia memperkayakan satu-satu bahasa.
Contohnya, penutur Bahasa Dusun di Kampung Rambai menyebut parang itu dongol, sedangkan penutur Bahasa Dusun di Kampung Bukit Udal mengatakan dongol itu merujuk kepada bentuk bulat.
Begitu juga sebutan goyoh dari Kampung Rambai, sementara penutur dari Kampung Bukit Udal memperkatakan gayoh yang bermaksud besar, lebar atau luas.
“Terdapat juga kata nama yang berlainan sebutannya dari satu kampung dengan kampung yang lain tetapi memiliki makna yang serupa, misalnya boton yang bermakna ladang padi bagi kalangan penutur di Kampung Merangking dan persekitarannnya.
Sementara penutur dari Kampung Bukit Udal dan Kampung Rambai menyebutnya sebagai rarau,” jelasnya de ngan lebih terperinci sebelum mengakhiri temu bual bersama Media Permata.
Pada pandangan penulis, tanggungjawab memulihara dan memartabatkan bahasa itu terletak di bahu semua pihak. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting untuk menyemai nilai jati diri kepada anak-anak khususnya menerusi penggunaan bahasa ibunda ketika berkomunikasi dengan mereka.
Bak kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’
Semangat mencintai bahasa warisan itu perlu dipupuk pada setiap masa, bukan setakat pada hari-hari tertentu sahaja.
Adalah tidak adil rasanya tanggungjawab itu diletakkan 100 peratus kepada kerajaan, malah ibu bapa dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan masing-masing dan begitu juga generasi muda pula perlu bangkit bersatu untuk memikirkan tentang usaha mengekalkan bahasa ibunda.
Pada masa sama, alangkah indahnya lagi jika setiap persatuan puak membuat penilaian tentang peranan masing-masing selain bekerjasama erat dengan kerajaan bagi mengangkat segala aspek warisan kebudayaan dan kesenian ke tahap yang lebih tinggi lagi dari semasa ke semasa.