Friday, November 22, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memartabatkan ilmu sains Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Dalam Surah Al-Jumu`ah ayat 10, Allah mengingatkan yang tafsirnya: “Apabila sembahyang sudah ditunaikan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah Ta`ala…”.

    “Sementara konsep hidup bersama, Al-Quran telah mengungkap dalam Surah Al-Hujuraat ayat 13, tafsirnya: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami juga telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (hidup bersama dan beramah mesra)…”

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan Kertas Perdana pada Persidangan Antarabangsa Universiti-universiti Islam (ICIU 2023).

    Kertas Perdana itu menumpu kepada tajuk kertas ‘Landskap Pendidikan Tinggi Islam Abad ke-21 : Strategi dan Hala Tuju’ bersesuaian dengan tema persidangan.

    Beliau seterusnya menjelaskan, Islam juga telah mendahului UNESCO dalam mencipta dasar pendidikan, namun umat Islam masih dilihat tertinggal di belakang.

    Pendidikan tinggi perlu dilengkapi dengan sains Islam yang mengiktiraf kuasa Allah dan mempercayai perkara-perkara yang berhubung kait dengan keimanan sebagai pasaknya. – Gambar Freepik
    Al-Quran mengandungi khazanah ilmu, tidak terkecuali ilmu sains. – Gambar Freepik

    “Ya, mengapa kita masih tetap di belakang? Mengapa orang lain sudah berjaya meneroka angkasa, sedangkan kita masih tetap tahan-tahan di bumi?,” katanya.

    “Ya mengapa, mengapa nama Neil Armstrong yang dinobat sebagai manusia pertama menjejaki bulan, mengapa bukan nama Ahmad atau Ali?”

    Inilah persoalan yang perlu kita cari jawapannya, jelas beliau, dan jawapan yang tepat adalah merujuk kepada ‘penguasaan’, yang mana semua bidang kehidupan memerlukan penguasaan.

    Beliau seterusnya menambah, bidang ekonomi dikuasai dengan apa? Bidang pentadbiran dikuasai dengan apa? Bidang ketenteraan dikuasai dengan apa? Bidang pembangunan dikuasai dengan apa? Dan bidang sains dan teknologi dikuasai dengan apa?

    “Dengan apa alat untuk menguasai semua ini, dengan apa? Ya, di sinilah persoalan kita itu,” tegasnya.

    Beliau seterusnya menjelaskan Al-Quran Al-Karim telah mengisyaratkan petunjuk, bahawa penguasaan tidak mungkin dicapai kecuali dengan ilmu sahaja dan ini termasuk penguasaan angkasa lepas yang sangat mencabar itu, hanya mampu untuk dicapai dengan ilmu jua.

    Ada ulama yang mentafsirkan kuasa ini sebagai ‘ilmu’, yakni, dengan kuasa ilmu sahaja, makhluk jin dan manusia baru mampu meneroka kehidupan ini, khasnya meneroka angkasa dan bumi.

    “Oleh itu, kita usah hairan, kalau nama Neil Armstrong, bukan nama Ahmad atau Ali yang dinobat menjejaki bulan, kerana ilmu meneroka angkasa sudah dimiliki oleh pihak Neil Armstrong, sedang di pihak kita pula, belum lagi memilikinya, maka kekallah kita masih jadi penonton sahaja,” jelasnya.

    Landskap dan Strategi Pendidikan Tinggi Islam Abad ke-21 perlu dikemas kini dan diperkasa, kalau yang membawa Neil Armstrong ke bulan ialah ilmu sains dan teknologi, maka pendidikan Islam abad ke-21 juga mesti mengutamakan ilmu ini.

    “Pusat-pusat pendidikan tinggi kita mesti membuka pintunya luas-luas untuk ilmu ini dan kita akan namakan ia dengan nama ‘Ilmu Sains Islam’,” jelasnya.

    Ini kerana ilmu sains Islam mempunyai kelebihan daripada ilmu sains barat dan ilmu sains barat pula hanya semata-mata berteraskan uji kaji terhadap benda-benda yang dapat dilihat, ditimbang, dihitung dan diukur semata-mata.

    Sementara ilmu metafizik dan soal-soal keimanan hanya dianggap ‘andaian’ sahaja, yang sukar untuk diterima oleh akal, berbanding sains Islam, tetap percaya kepada kuasa Allah dan perkara-perkara ghaib.

    “Kita tidak mahu pusat-pusat pengajian tinggi kita tidak celik ilmu sains, tetapi yang kita mahu, mereka juga mesti jadi pelopor dan penghayat ilmu ini.

    “Kita tidak mahu para mahasiswa dan mahasiswi kita menganggap Islam itu miskin sains atau dalam Al-Quran tidak ada sains.”

    Beliau telah mengongsikan pengalaman pada kira-kira akhir tahun 70an atau awal 80an, di mana beliau diminta untuk menjadi salah seorang ahli panel dalam forum anjuran Sekolah SOAS.

    Katanya, “Saya amat terkejut apabila seorang guru bangun memberi pendapat mengatakan, “Dalam al-Quran tidak ada ilmu sains.”

    Tanpa mempunyai persediaan awal, jelasnya, beliau dapat menyangkal pendapat guru ini dengan mengatakan, “Tuan! Al-Quran mengandungi khazanah ilmu, tidak terkecuali juga ilmu sains.

    “Kalau tuan membaca Surah Yasin sahaja, surah ini mengandungi fakta-fakta saintifik mengenai fenomena alam, fenomena siang dan malam, peredaran planet dan cakerawala dan lain-lain,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan firman Allah yang tafsirnya menyatakan, “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih (angin membawa awan mengandungi hujan, angin juga membawa debunga jantan kepada debunga betina dari sebatang pohon ke pohon yang lain. Dan daripada hasil pertemuan inilah, maka lahirnya buah-buahan).”

    “Nah tidakkah ini sains? Ya, tidak dapat disangkal lagi bahawa ini adalah ayat sains,” jelasnya lagi.

    “Isu yang seakan-akan sama merendahkan Al-Quran telah berlaku di zaman Ibnu Sina 1,000 tahun yang lalu (980-1037M).

    Seorang mulhid (ateis) muncul menyergah Ibnu Sina, “Wahai Ibnu Sina, saya telah pun membaca seluruh Al-Quran, tetapi saya tidak berjumpa walau satu ayat pun mengenai perubatan.

    “Ibnu Sina membalas, ‘Wahai lelaki, sesungguhnya kitab kami (Al-Quran) telah mengumpul semua hal ehwal perubatan (cuma) dalam setengah ayat sahaja’.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan hebatnya sains Islam semasa zaman Sayyidina Umar bin Al-Khattab Radhiallahu `Anhu di mana Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah telah melakukan ujian dan menyelamatkan lelaki daripada tuduhan memperkosa perempuan yang mengadu.

    Di sini jelaslah Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah adalah pakar sains (saintis) yang tidak ada tolak bandingnya ketika itu, sehingga Sayyidina Umar mengaku, sekiranya bukan kerana Ali, nescaya binasalah Umar menghukum orang yang tidak berdosa.

    Gambaran itu menunjukkan betapa pentingnya ilmu sains dan ia bukan sahaja alat untuk meneroka angkasa, bahkan yang lebih utama adalah berperanan untuk menegakkan hukum Allah dalam kehidupan manusia.

    “Landskap pendidikan tinggi Islam, jangan ia meminggirkan ilmu sains, tetapi turut memartabatkannya sebagai salah satu ilmu teras yang wajib dipelajari.

    “Tiada halangan bagi kita untuk menerima dan mempelajari sains Barat yang berunsur kebendaan, tetapi kita akan lengkapi ia dengan sains Islam yang mengiktiraf kuasa Allah dan mempercayai perkara-perkara yang berhubung kait dengan keimanan sebagai pasaknya,” tegasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda