Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Keselamatan kampung merupakan aspek yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat di kawasan perkampungan untuk menjamin kesejahteraan warga di samping menjaga kestabilan di kampung tersebut.
Keselamatan itu meliputi keselamatan jalan raya, keselamatan rumah dan harta benda, serta keselamatan daripada jenayah dan keganasan.
Sehubungan itu, ahli Pengawasan Kejiranan Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, telah mengadakan operasi rondaan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei, kelmarin.
Rondaan dilakukan di sepanjang kawasan Jalan Tanjung Selasih dan Tanjung Kudus yang menyasarkan rumah kosong yang terdapat di kawasan tersebut.
Turut menyertai sama dalam operasi rondaan tersebut ialah Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Kampung Panchor, Haji Awang Mohd Eddie Hardey bin Haji Awang Ibrahim bersama penduduk dan belia di kampung berkenaan.


