Wednesday, October 16, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memastikan rakyat hidup aman antara matlamat ASEAN

    JAKARTA, 8 OGOS – Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata satu daripada matlamat ASEAN adalah untuk memastikan penduduk di rantau ini hidup aman.

    “Salah satu matlamat (ASEAN) adalah untuk memastikan rakyat kita hidup aman dalam persekitaran yang adil, demokratik, dan sekali lagi harmoni,” katanya pada Persidangan Dialog Antara Budaya dan Antara Agama ASEAN (IIDC) di Jakarta kelmarin, lapor agensi berita ANTARA.

    Menurut Marsudi, di rantau yang begitu pelbagai seperti Asia Tenggara, dialog adalah sangat penting untuk mewujudkan persefahaman dan menggalakkan sikap saling menghormati.

    “Sememangnya, keamanan dan kestabilan yang kita nikmati di rantau ini adalah hasil kerja keras ASEAN selama bertahun-tahun dalam mempromosikan budaya dialog,” katanya.

    Dalam dunia hari ini, di mana persaingan geopolitik semakin meluas dan defisit kepercayaan menghalang negara daripada bekerjasama, dialog antara negara adalah lebih penting berbanding sebelum ini, tambahnya.

    Gambar Freepik

    “Inilah sebabnya dasar luar kita memupuk tabiat berdialog, membina status Indonesia sebagai negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia,” tambahnya.

    Menurut Marsudi, terdapat tiga matlamat ASEAN. Pertama, mewujudkan keharmonian antara tamadun.

    “Jika tidak diurus dengan baik, kepelbagaian hanya menimbulkan syak wasangka dan kebencian. Dengan trend Islamofobia yang semakin meningkat di peringkat global, kita mungkin menuju ke arah pertembungan tamadun,” jelasnya.

    Indonesia telah mengadakan dialog antara agama sebagai medium diplomasi keamanannya untuk merapatkan pemahaman Islam yang lebih baik dan mengadakan dialog dengan 34 negara di seluruh dunia dari India hingga Ethiopia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda