Memastikan sistem penjagaan kesihatan tidak terjejas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Rantau ASEAN Plus Three sedang berhadapan dengan ancaman sekuriti kesihatan yang serius di mana ia telah mengganggu sistem penjagaan kesihatan, menyebabkan kehilangan jiwa dan memberi kesan kepada sosial serta ekonomi penduduk.

Oleh itu adalah penting bagi mewujudkan langkah-langkah pencegahan bagi penularan wabak COVID-19 demi memastikan sistem penjagaan kesihatan tidak terjejas dalam penyampaian perkhidmatannya.

Pada masa yang sama, penekanan turut dibuat terhadap mendapatkan ubat-ubatan asas, bahan-bahan dan peralatan perubatan seperti peralatan keselamatan diri (PPE), cecair pembasmi kuman, vaksin dan sebagainya tepat pada masanya, walau terpaksa menempuh perbelanjaan yang tinggi, juga diketengahkan.

Penekanan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dalam ucapannya semasa Persidangan Video Khas bagi Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN Plus Three (APTHMM) yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini, hari ini, Dr Haji Zulaidi menghadiri Mesyuarat APTHMM bagi mewakili Yang Berhormat Menteri Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Ltg (B) Terawan Agus Putranto dan Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, Tuan Yang Terutama Katsunobu Kato.

Dalam ucapannya lagi, Dr Haji Zulaidi memberikan beberapa cadangan kepada ahli-ahli APTHMM bagi meningkatkan kerjasama yang sedia ada, termasuklah dalam perihal memudah cara aktiviti logistik dalam penghantaran, pembekalan dan pembuatan barangan keperluan bagi menangani wabak COVID-19 melalui whole-of-government approach, menggunakan secara efektif rangkaian serantau yang sedia ada lebih-lebih lagi dengan pejabat-pejabat serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam perkongsian maklumat bagi mendapatkan barangan dan peralatan perubatan dan melihat pada mekanisme-mekanisme yang sedia ada dalam mengurus serta menggunakan sumber-sumber dana untuk memperoleh barangan dan peralatan perubatan bagi COVID-19 berdasarkan keperluan setiap negara.

Persidangan Video Khas Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) dan APTHMM berakhir dengan persetujuan untuk mengeluarkan Kenyataan Bersama AHMM dalam Meningkatkan Kerjasama Mengenai Tindakan kepada Corona Disease (COVID-19) dan Kenyataan Bersama APTHMM dalam Meningkatkan Kerjasama Mengenai Tindakan kepada COVID-19.