Ahad, 23 November 2025
Klik Lagi

    Membangun masyarakat berakhlak mulia

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Membangun masyarakat bermakna membangun insan. Tetapi, bagaimana caranya? Jika membangun bangunan, kita perlu menyediakan tapak, reka bentuk, dan bahan binaan. Namun, membangun insan memerlukan pendekatan berbeza – kita membangun jiwa, semangat, akhlak, pemikiran, akidah, dan iman mereka.

    Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, menjelaskan konsep itu semasa membentangkan kertas perdana pada Majlis Perasmian Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV) di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.

    Menurut beliau, Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh kepada umat manusia bagaimana untuk membangun seorang insan. Hal tersebut hakikatnya dilakukan oleh Baginda dengan membangun jiwa, semangat, sikap, akidah, dan iman orang di sekelilingnya. Bukan untuk kekuatan fizikal, makanan lazat, pakaian mahal, atau rumah mewah, tetapi bagi membangun masyarakat berakhlak mulia dan beriman.

    “Baginda melancarkan reformasi daripada masyarakat yang miskin akhlak dan tidak beriman, kepada masyarakat berakhlak mulia dan beriman, melalui ajaran LaIlahaIllallah dan Al-Quran,” jelas Yang Berhormat Mufti.

    Lantaran hal itulah yang melahirkan beberapa sosok peribadi ternama seperti Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar bin Al-Khattab, Sayyidina Osman bin Affan, Sayyidina Ali Karamahullahu Wajhah, Abdurrahman bin Auf, dan Khalid bin Al-Walid.

    Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa membentangkan Kertas perdana pada majlis tersebut di Dewan Plenari, ICC, Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir pada Majlis Perasmian Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV) di Dewan Plenari, ICC, Berakas. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Majlis yang berlangsung di ICC, Berakas itu turut menampilkan beberapa petak pameran. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Tamsilnya, Sayyidina Abu Bakar yang menyumbangkan semua hartanya untuk Islam, manakala Sayyidina Umar, sebelum Islam, adalah penentang kuat Islam tetapi berubah selepas doa nabi: “Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar.”

    “Setelah Umar memeluk Islam, Malaikat Jibril AS datang kepada nabi dan berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya seluruh penduduk langit bergembira dengan Islamnya Umar,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    “Kemudian siapa lagi? Sayyidina Osman bin Affan RA, seorang dermawan di jalan Allah yang tidak ada tolok bandingnya di mana beliau juga disifatkan oleh nabi sebagai paling pemalu dan berakhlak paling mulia kerana tidak pernah menjamah alat kelaminnya dengan tangan kanan kerana dengan tangan kanan itulah dia menjabat tangan Nabi SAW,” tambah Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan, “Sayyidina Ali Karamahullahu Wajhah, seorang pemuda yang sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan nabi dengan menggantikan dirinya di tempat tidur Baginda sebagai usaha bagi mengelirukan musuh yang sudah pun bersedia untuk membunuh Baginda.

    “Sementara itu, Abdurrahman bin Auf, seorang yang terkenal sangat kaya tetapi tidak pernah menahan hartanya untuk kebajikan dan beliau pernah menyumbangkan barang-barang keperluan bagi penduduk Madinah di mana barang-barang itu dibawa oleh 700 ekor unta.

    “Bayangkan betapa banyak barang-barang dimuatkan ke atas 700 ekor unta. Beliau juga menjual tanahnya dengan harga 40,000 dinar untuk dibahagi-bahagikan kepada kaumnya, kepada isteri-isteri nabi, Ummahatul Mukminin dan kepada para fakir miskin.

    “Dalam satu peperangan (Peperangan Tabuk), beliau menyumbangkan 500 ekor kuda perang dan 1,500 ekor unta tunggangan. Begitu juga beliau telah menyedekahkan 400 dinar kepada setiap bekas tentera Perang Badar yang masih hidup seramai 100 orang,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    “Sahabat Khalid bin Al-Walid yang digelar oleh nabi sebagai Saifullah al-Maslul (ertinya pedang Allah yang terhunus) di mana sahabat ini terkenal gagah untuk Islam, pakar menggunakan senjata dan penunggang kuda yang hebat bagi Islam.

    “Dalam zaman Nabi SAW, beliau menyertai ekspedisi jihad melawan musuh dan setelah nabi wafat, dilantik menjadi panglima perang menentang tentera-tentera Parsi dan Rom,” tambah Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan semua peperangan yang disertai dan diketuai Khalid bin Al-Walid tidak pernah kalah. Beliau bercita-cita untuk mati syahid tetapi tidak kesampaian, sehingga ketika berada di ranjang maut, beliau menangis, menangis mengenangkan cita-citanya bagi mati syahid tidak terkabul.

    Demikianlah beberapa contoh peribadi-peribadi hebat dalam sejarah, tambah Yang Berhormat Pehin, yang dibangun oleh nabi untuk Islam dan sekali gus bagi ummah dan negara di mana mereka ini meninggalkan pengaruh dan kesan kepimpinan yang tidak mungkin hapus dari lipatan sejarah.

    Menariknya, dalam pembentangan kertas perdana bertajuk Membangun Masyarakat dan Perbandaran Islam yang Mampan, Yang Berhormat Pehin turut mengemukakan contoh mutakhir pembangunan insan di Palestin. Di sana, kanak-kanak dididik di khemah dan institusi menghafaz Al-Quran untuk kelangsungan bangsa, agama, dan negara.

    Menurut buku Peristiwa Ajaib Pertolongan Allah SWT Buat Penduduk Palestin, kanak-kanak Palestin disalurkan ke institusi itu untuk belajar, membaca, dan menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Hal itu dilakukan untuk mengambil berkat dari Al-Quran, yang menjadi sumber kekuatan luar biasa.

    Yang Berhormat Pehin juga mengingatkan tentang pentingnya perbandaran yang mengikut tuntutan Maqasid Syariah – memelihara agama, akal, jiwa, keturunan, dan harta. Perbandaran Islam mesti bebas dari jenayah dan maksiat, dengan bandar atau negeri penuh berkat dan rahmat, menjamin keselamatan semua, termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan.

    “Maqasid Syariah mahu supaya bandar atau negeri yang dibangun itu penuh berisi dengan rahmat dan berkat, sehingga kita yang hidup di dalamnya, menikmati kehidupan sejahtera, aman dan selamat,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    Islam, tambah Yang Berhormat Pehin, mengajar kita menjaga nyawa dan perbandaran. Kita tidak boleh menjadi seperti Firaun dan Haman yang membunuh kanak-kanak, atau Namrud yang melemparkan Nabi Ibrahim ke dalam api. Sebaliknya, kita mesti membangun masyarakat dengan kasih sayang dan keadilan.

    “Tetapi dalam sejarah moden, dunia sekarang sedang menyaksikan golongan penjahat yang lebih jahat daripada Firaun dan Haman dan Namrud. Mereka membunuh kanak-kanak, kaum hawa, warga emas, membakar dan meruntuhkan bangunan, rumah kediaman, masjid, dan hospital. Mereka adalah penumpah darah dan perosak negeri, harta benda, dan perbandaran,” tegas Yang Berhormat Pehin sebelum menutup pembentangan tersebut.

    Natijahnya, dengan memahami dan mengamalkan konsep membangun masyarakat seperti yang diajarkan oleh Islam, kita dapat membentuk masyarakat yang lebih baik, harmoni, dan berakhlak mulia.

    Kata Kunci

    Popular

    Asia Pasifik

    Hutan Hyrcanian UNESCO terbakar, Iran rayu bantuan antarabangsa

    Deaflympics 2025: Malaysia pecah rekod dalam acara 4x100m

    Angka korban gempa bumi di Bangladesh meningkat kepada 10

    Berita Berkaitan

    Hutan Hyrcanian UNESCO terbakar, Iran rayu bantuan antarabangsa

    TEHRAN, 23 NOV - Iran telah meminta bantuan luar...

    Deaflympics 2025: Malaysia pecah rekod dalam acara 4x100m

    TOKYO, 23 NOV - Walaupun gagal menempah slot ke...

    Angka korban gempa bumi di Bangladesh meningkat kepada 10

    DHAKA, 23 NOV - Dua gegaran kecil melanda Bangladesh...

    WHO isytihar wabak polio di Indonesia berakhir

    JAKARTA, 23 NOV - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah...

    Terkini

    Hutan Hyrcanian UNESCO terbakar, Iran rayu bantuan antarabangsa

    TEHRAN, 23 NOV - Iran telah meminta bantuan luar...

    Deaflympics 2025: Malaysia pecah rekod dalam acara 4x100m

    TOKYO, 23 NOV - Walaupun gagal menempah slot ke...

    Angka korban gempa bumi di Bangladesh meningkat kepada 10

    DHAKA, 23 NOV - Dua gegaran kecil melanda Bangladesh...

    WHO isytihar wabak polio di Indonesia berakhir

    JAKARTA, 23 NOV - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah...