Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Membangun warga emas celik digital

    MALAYSIA – Pensyarah Dr Tan Yun Yi, 34, ingin membantu warga emas menjadi lebih mahir dalam teknologi, sesuatu yang difikirkannya setelah kembali daripada pengajian PhD di Hong Kong.

    “Saya sangat terkesan dengan laporan berita yang kerap melaporkan penipuan yang menyasarkan golongan warga emas dan ingin melakukan sesuatu untuk membantu mencegah perkara ini,” katanya.

    Tan sangat yakin bahawa setiap individu harus berperanan dalam memperbaiki keadaan untuk komuniti, jadi dia memutuskan untuk merancang dan mengembangkan program literasi digital yang sesuai untuk orang dewasa tua berumur 55 tahun ke atas.

    Dikenali sebagai Bengkel Teknologi Senior (BTS), individu warga emas dapat belajar tentang teknologi mengikut haluan dan keperluan mereka sendiri.

    Namun, terdapat satu lagi kisah di sebalik itu. Ketika Tan terbang ke Hong Kong, Ia adalah kali pertama beliau berjauhan dengan keluarganya.

    BTS membantu warga emas mempelajari cara menggunakan aplikasi membeli-belah dalam talian, e-hailing, e-perbankan dan e-dompet. – Gambar Instagram BTS
    Projek Poskad membolehkan warga emas mereka bentuk poskad mereka sendiri menggunakan Canva, kemudian mencetaknya dan menghantarnya kepada rakan dan keluarga mereka. – Gambar ANN/The Star

    “Nenek saya risau bahawa dia tidak akan dapat berbual dengan saya selalu, jadi kami membelikannya sebuah iPad dan mengajarkannya cara menggunakan aplikasi FaceTime.

    Kami mengambil sedikit masa untuk menerangkan konsep panggilan video. Akhirnya, dia menguasainya. Pada masa itu, saya sedar bahawa membantu warga emas menggunakan teknologi bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya tidak ada yang mengajar.

    Ketika berada di Hong Kong, Tan terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat dengan golongan warga emas dan menyedari bahawa walaupun minat mereka dalam teknologi tidak jauh berbeza dengan orang muda, kebanyakkan mereka tidak mendapat peluang untuk belajar dan mengikuti perkembangan teknologi kerana tiada sesiapa yang mengajar mereka.

    “Kita semua akan menjadi tua suatu hari kelak dan saya percaya bahawa membantu warga emas adalah satu langkah menuju kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni dan memberi tumpuan kepada kebajikan bersama,” kata Tan.

    BTS terdiri daripada dua bahagian: modul kreatif untuk membantu warga emas mengatasi ketakutan mereka terhadap teknologi, terutamanya pada peranti mudah alih dan modul aplikasi digital untuk membantu mereka belajar cara memuat turun dan menggunakan aplikasi yang akan memudahkan kehidupan mereka, seperti membeli-belah dalam talian, e-hailing, perbankan dalam talian dan dompet elektronik, kata Tan.

    Atas usaha mempromosikan inklusif digital dalam kalangan warga emas, BTS telah memenangi Anugerah Star Golden Hearts (SGHA) pada tahun 2020. Semasa pandemik COVID, pasukan BTS membantu warga emas dengan aplikasi MySejahtera di pusat suntikan vaksin.

    Bekerjasama dengan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia untuk UNESCO, Tan berkata, BTS telah membangunkan dan mencakupi 16 topik berkaitan literasi digital termasuk teknologi maklumat (IT), penjagaan kesihatan, gaya hidup, seni dan reka bentuk.

    Belajar Bersama

    Para tenaga pengajar dan sukarelawan di BTS bekerja sepenuh masa, jadi bengkel hanya ditawarkan apabila ada masa dan sumber yang tersedia. Pengumuman dibuat di laman media sosial mereka dan warga emas boleh mendaftar dengan menghubungi duta digital mereka yang merupakan sukarelawan pelajar.

    Pada Oktober 2022, BTS melancarkan Silver Lab, sebuah makmal pembelajaran teknologi mesra warga emas di Universiti Sains Malaysia (USM), ruang pembelajaran antara generasi di mana orang ramai dari semua peringkat umur dapat belajar antara satu sama lain.

    Salah satu aktiviti terkini yang dijalankan oleh Silver Lab adalah ‘Projek Poskad’ di mana warga emas belajar menggunakan aplikasi Canva untuk mencipta dan mereka bentuk poskad mereka sendiri, kemudiannya dicetak dan dihantar kepada keluarga atau rakan-rakan mereka.

    Terdapat juga sukarelawan pelajar yang belum pernah mendapatkan pengalaman pos tradisional sebelum ini atau melihat poskad lama.

    Tan berkata, selain belajar tentang teknologi baharu, warga emas juga dapat mengenang kembali pengalaman kehidupan mereka dahulu dan berkongsi perkara itu dengan sukarelawan pelajar. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...