Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Membangunkan daya tahan masyarakat luar bandar

    KUALA LUMPUR – Dengan bertemakan ‘Transformasi Luar Bandar : Meningkatkan Modal Insan ke Arah Masyarakat Luar Bandar Yang Berdaya Tahan’, satu mesyuarat ke-10 Menteri-Menteri ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan telah diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur, Malaysia.

    Mesyuarat yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Hadir mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, selaku wakil Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.

    Semasa mesyuarat itu, Dato Paduka Haji Alaihuddin membacakan teks ucapan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antara lain menyatakan bahawa pembangunan modal insan bagi membina kedayatahanan masyarakat luar bandar boleh memberikan manfaat yang besar kepada usaha-usaha sesebuah negara dalam membangun luar bandar dan membasmi kemiskinan.

    Ke arah ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain telah dan sedang melaksanakan beberapa program bagi membangun masyarakat luar bandar yang lebih mampan.

    Mesyuarat yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
    Pencalonan Majlis Perundingan Kampung Kapok (MPK Kapok) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) untuk menerima anugerah ini adalah berdasarkan kepada usaha dan sumbangan yang besar kearah membantu, memaju dan membangun penduduk serta rakyat di negara ini terutama mereka yang memerlukan bantuan dan berada di kawasan luar bandar.

    Usaha-usaha ini termasuklah dalam membangun kedayatahanan ekonomi mukim dan kampung melalui Projek Satu Kampung Satu Produk ; membangun kedayatahanan institusi kepimpinan mukim dan kampung dengan merebiu semula Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung bagi meningkatkan kualiti kepimpinan, tanggungjawab dan kebolehpercayaan setiap pemimpin akar umbi yang dilantik; serta membangun kedayatahanan sosial masyarakat melalui inisiatif-inisiatif bagi memupuk masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai teras, yang seterusnya menyumbang kearah pembangunan masyarakat yang bersepadu dan berdayatahan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 dibawah Strategi Jaminan Sosial.

    Mesyuarat tersebut telah didahului oleh Mesyuarat ke 14 Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (SOMRDPE) pada 2 hingga 3 Oktober 2017; Mesyuarat ke 10 Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Campur Tiga bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan pada 4 Oktober 2017 dan Forum ASEAN ke 6 bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan pada 5 Oktober 2017.

    6th ASEAN Forum on Rural Development and Poverty Eradication turut dihadiri oleh delegasi organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta daripada setiap negara ahli ASEAN dan juga perwakilan daripada badan-badan antarabangsa dan para akademik.

    Mesyuarat 14th SOMRDPE telah membincangkan status pelaksanaan bidang-bidang kerjasama dengan badan sektoral ASEAN yang lain, status pelaksanaan Rangkakerja Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2016-2020, meneroka kerjasama dengan badan-badan serantau dan antarabangsa serta persediaan bagi Mesyuarat 10th AMRDPE.

    Sementara itu, Mesyuarat 10th SOMRDPE+3 telah memberi peluang kepada negara-negara ahli SOMRDPE untuk bertukar-tukar pendapat dan berkongsi amalan-amalan terbaik dengan negara-negara rakan kongsi ASEAN iaitu Republik Rakyat Cina, Jepun dan Korea dalam program-program yang berkaitan dengan tema mesyuarat tahun ini.

    Manakala, 6th ASEAN Forum on Rural Development and Poverty Eradication pula telah menekankan mengenai kepentingan hubungan kerjasama berbagai peringkat diantara pelbagai sektor berkepentingan seperti pihak kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan organisasi masyarakat sivil dalam menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Goals) yang saling berkait rapat serta pembasmian kemiskinan yang mempunyai berbagai dimensi.

    Pengiktirafan ASEAN

    Anugerah Kepimpinan ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan kali ke-3 telah diadakan pada 6 Oktober 2017 yang lalu.

    Anugerah ini merupakan pengiktirafan ASEAN kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan di rantau ini.

    Anugerah ini adalah inisiatif Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (SOMRDPE) di bawah Rangka kerja Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2016-2020 yang diadakan setiap dua tahun sekali semasa Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Majlis Perundingan Kampung Kapok (MPK Kapok) sebagai penerima anugerah bagi kategori pertubuhan NGO dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai penerima anugerah bagi kategori sektor swasta dari Negara Brunei Darussalam.

    Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Malaysia, Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio Budaya ASEAN, Vongthep Arthakaivalvatee.

    Pencalonan MPK Kapok dan BIBD untuk menerima anugerah ini adalah berdasarkan kepada usaha dan sumbangan yang besar kearah membantu, memaju dan membangun penduduk serta rakyat di negara ini terutama mereka yang memerlukan bantuan dan berada di kawasan luar bandar.

    Usaha yang telah diungkayahkan oleh MPK Kapok dan BIBD adalah sangat bernilai dan bermakna kerana ianya telah memberikan nilai tambah kepada usaha dan langkah kerajaan ke arah meninggikan taraf hidup rakyat dan penduduk di negara ini sekaligus ke arah pembasmian kemiskinan.

    Usaha dan sumbangan MPK Kapok telah dapat dilihat melalui pelbagai projek dan program yang telah diungkayahkan oleh MPK Kapok seperti Program-program Kemasyarakatan seperti Program Perekonomian kampong iaitu satu Kampung Satu Produk (1K1P), Program Pendidikan, Program Perpustakaan Kampong, program bantu diri, projek-projek amal dan kemasyarakatan seperti membantu mangsa-mangsa bencana alam dan sebagainya.

    Manakala usaha dan sumbangan BIBD telah dapat dilihat melalui pelbagai projek dan program yang telah diungkayahkan oleh BIBD seperti Program-program Kemasyarakatan seperti Program Pendidikan (BIBD Alaf), bantuan-bantuan kewangan dan program bantu diri, Projek-projek Amal, Projek-projek Bantuan Kecemasan dan Kemasyarakatan seperti membantu mangsa-mangsa bencana alam dan sebagainya.

    Mesyuarat AMRDPE ke-10, mesyuarat-mesyuarat peringkat pegawai kanan, forum serta majlis anugerah ini telah memberikan platform yang terbaik bagi negara-negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan peluang kerjasama dan meningkatkan keberkesanan tindakan kebangsaan dan serantau dari segi pembangunan modal insan untuk membangun kedayatahanan masyarakat dan membasmi kemiskinan secara holistik.

    Hasil-hasil yang diperolehi daripada mesyuarat-mesyuarat dan forum yang berkaitan dengan 10th AMRDPE ini akan dipergunakan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh Negara Brunei Darussalam dengan mengembeling sumber-sumber yang bersesuaian dan mensejajarkan semua program dan inisiatif pembasmian kemiskinan yang inklusif dan memfokuskan kepada pembangunan kedayatanan masyarakat dalam Pelan Tindakan Membasmi Kemiskinan dibawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Society.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda