Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 28 Sept – Sebagai menyahut dan menanai hasrat kerajaan bagi melahirkan generasi celik Al-Quran serta menjadikan amalan membaca Al-Quran budaya hidup bagi semua lapisan masyarakat, Sekolah Ugama Danau Tutong telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi tujuh orang murid Darjah 6, baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan telah dihadiri oleh Penasihat Majlis Perundingan Kampung dan Takmir Masjid Kampung Danau, Mejar (B) Haji Ali bin Haji Ahmad selaku tetamu kehormat.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas oleh peserta khatam yang diraikan.

Kemudian acara diteruskan dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam serta dengan bacaan Dikir Marhaban.
Majlis diserikan lagi dengan acara merenjis minyak wangi serta penyampaian sijil khatam yang disempurnakan oleh Mejar (B) Haji Ali.
Majlis khatam ini merupakan antara aktiviti tahunan sekolah berkenaan yang bermatlamat untuk menggalakkan murid-murid sentiasa membaca Al-Quran dengan baik dan lancar serta mampu mengkhatamkan 30 juzuk sebelum menamatkan sesi pembelajaran Darjah 6 di sekolah agama.