Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Membentuk masa depan insurans, takaful

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Dengan harapan untuk mendidik dan membentuk semula landskap insurans dan takaful di negara ini, Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA) telah menganjurkan webinar bertajuk Membentuk Masa Depan Insurans dan Takaful, baru-baru ini.

    Pengerusi BITA, Haji Shahrildin bin POKLU DP Haji Jaya dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa acara berkenaan merupakan siri keempat webinar yang dianjurkan oleh BITA.

    Semasa webinar itu, penceramah utama iaitu Pengasas Rakan Kongsi dan Ketua Pegawai Eksekutif Human Inc, Christoffer Erichsen telah berkongsi pandangan tentang bagaimana syarikat insurans dan pengendali takaful telah berinovasi melalui penerapan budaya yang merangkumi pemikiran reka bentuk dan minda cepat.

    “Ini termasuk mempamerkan kajian kes daripada pengalaman berdekad-dekad Human Inc,” tambahnya.

    Manakala itu, penceramah panel kedua, Ketua Pegawai Kewangan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, Cornelius Yee pula mengongsikan pandangan mengenai landskap domestik insurans atau takaful, dan menumpukan kepada potensi pasaran yang belum diterokai untuk industri berinovasi dan perintis.

    Webinar telah dikendalikan oleh Andrew Dy dari Program Serantau GM, Forum Asia Inc, dan merangkumi pelbagai topik, termasuk arah aliran global, peluang pertumbuhan serta cabaran hari ini dan pada masa hadapan.

    Selain itu, webinar membincangkan kesan pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan data besar, strategi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui teknologi, perkhidmatan yang diperibadikan, dan tawaran inovatif, serta mengubah tingkah laku pengguna antara isu penting yang lain.

    Orang ramai boleh melayari laman web BITA untuk melihat rakaman webinar berkenaan di www.bita.org.bn.

    Ahli-ahli panel penceramah semasa webinar berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BITA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda