Oleh Sim Y.H
Gambar oleh Lyna Mohamad
Tidak dapat disangkal bahawa kesihatan mata amat penting dan merupakan masalah utama kesihatan global yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
Bagaimanapun, kesihatan mata merupakan isu yang sering kali terabai dalam senarai keutamaan kesihatan awam.
Ke arah itu, Hari Penglihatan Sedunia merupakan hari kesedaran antarabangsa yang diperingati setiap tahun dan memberikan landasan bagi semua pihak yang terlibat dalam bidang penjagaan mata untuk memberigakan serta berkongsi maklumat mengenai pentingnya penjagaan mata.
Negara Brunei Darussalam turut bersama negara-negara di seluruh dunia meraikan Hari Penglihatan Sedunia 2022 yang membawa tema, ‘Sayangi Mata Awda’, dengan matlamat untuk menggalakkan semua individu untuk bertanggungjawab dan menghargai kesihatan mata mereka.
Semasa Majlis Sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2022 dan Minggu Penjagaan Mata Asia Pasifik ke-12 yang berlangsung di Ruang Legar, Pusat Mata, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 15 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, mengongsi bahawa terdapat kira-kira 23,000 orang hidup dengan masalah penglihatan di Negara Brunei Darussalam menurut statistik terkini pada 2020 dari Agensi Antarabangsa bagi Pencegahan Buta Penglihatan (IAB), di mana daripada jumlah berkenaan, lebih daripada 800 orang diklasifikasikan sebagai buta.
“Oleh yang demikian, amatlah mustahak bagi Negara Brunei Darussalam untuk mengambil whole of nation approach dalam isu penglihatan dan memastikan kesihatan mata termasuk dalam rancangan serta dasar pembangunan yang relevan.”
Beliau berkata bahawa antara punca utama masalah penglihatan di Brunei adalah katarak, refractive error dan diabetic retinopathy di mana dalam tempoh 12 bulan yang lalu, ketiga-tiga keadaan yang boleh dirawat berkenaan telah menyumbang kepada 35 peratus daripada punca gangguan penglihatan di semua hospital dan klinik yang dihadiri di Negara Brunei Darussalam.
Pada majlis itu juga, Konsultan Pakar Oftalmologi dan Presiden Persatuan Oftalmologi Brunei, Dr Hajah Helena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Abu Hurairah telah mengongsi enam langkah mudah untuk menjaga kesihatan mata mereka yang boleh dikongsi dengan orang-orang di sekeliling mereka, untuk diamalkan setiap hari.
Enam langkah yang dikongsi olehnya ialah pemakanan yang sihat, berhenti merokok, gunakan kaca mata hitam, gunakan pelindung mata sama ada ketika bekerja ataupun sewaktu bersukan lasak, hadkan penggunaan skrin digital serta membuat pemeriksaan mata secara berkala.
Pemakanan yang sihat
Kesihatan mata yang baik bermula dengan pemakanan yang baik. Nutrien seperti suplemen Omega-3, lutein, zink, vitamin C dan E membantu melindungi mata awda daripada masalah pengliha- tan seperti katarak dan degenerasi makula.
Amalan pemakanan yang sihat juga dapat membantu mencegah penyakit-penyakit yang tidak berjangkit seperti penyakit kencing manis, tinggi darah dan kolesterol berlebihan di mana semuanya juga boleh mengakibatkan komplikasi yang mengancam penglihatan.
Berhenti merokok
Merokok merupakan risiko tinggi dalam perkembangan kebanyakan masalah mata seperti katarak, glaukoma, degenerasi makula dan kerosakan urat saraf mata.
Gunakan kaca mata hitam
Pendedahan kepada sinaran ultraungu (UV) boleh mempercepatkan perkembangan katarak dalam mata dan juga boleh mengakibatkan kondisi seperti kering mata.
Ia juga berkaitan dengan perkembangan kurita-kurita dan juga salah satu faktor risiko kanser kulit.
Gunakan pelindung mata
Sejak lima tahun kebelakangan ini, hampir 10,000 orang pesakit telah melaporkan diri ke Unit Kecemasan disebabkan oleh trauma mata. Trauma mata boleh mengakibatkan kesan yang mendalam dari segi fizikal, mental, emosi dan kewangan serta ia juga adalah punca utama dalam kehilangan penglihatan yang kekal.
Kebanyakan daripada kemalangan ini adalah dilaporkan daripada sektor pembinaan. Lebih daripada 80 peratus kes trauma mata itu boleh dan mudah dielakkan sekiranya alat pelindung mata yang betul telah digunakan.
Hadkan penggunaan skrin digital
Sejak wabak COVID melanda negara ini, perkhidmatan mata kanak-kanak telah mencatatkan peningkatan yang ketara dalam jumlah kes kanak-kanak yang mengalami masalah rabun penglihatan, khususnya myopia atau rabun jauh yang disebabkan oleh penggunaan skrin digital yang berlebihan dan kurang beraktiviti di luar rumah.
Myopia adalah merupakan salah satu faktor risiko bagi masalah penglihatan seseorang di masa hadapan seperti glaukoma, katarak dan masalah retina yang boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan yang tidak boleh dipulihkan.
Penggunaan skrin yang berlebihan juga boleh mengakibatkan masalah seperti ketegangan mata, penglihatan kabur, mata kering dan sakit kepala.Oleh itu, orang ramai disarankan untuk mengamalkan peraturan 20:20:20 iaitu setelah penggunaan skrin digital selama 20 minit, lihat pada objek yang berada pada jarak 20 kaki selama 20 saat.
Buat pemeriksaan mata berkala
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan mata secara berkala, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mempunyai masalah penglihatan di dalam keluarga mereka seperti glaukoma, masalah retina dan masalah rabun mata. Pengesanan awal adalah penting dalam mencegah kehilangan penglihatan.