Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah memperingati Ilal Hijrah 1445 dengan majlis sambutan di Dewan Teater, bangunan kementerian berkenaan di Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan ceramah khas bertajuk ‘Esok Mungkin Ada’ yang disampaikan oleh Kaunselor Pelawat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, pemangku setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan kementerian serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Awal Tahun Hijrah yang mana, majlis itu merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang antara lain bertujuan untuk memperingati dan membesarkan Sambutan Ilal Hijrah.
Di samping itu, majlis yang diselenggarakan oleh Bahagian Teknologi Maklumat itu juga mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan kementerian.